Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Desupan jentera Porsche

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN – Anda akan merasa teruja apabila meluangkan masa beberapa jam memandu barisan kenderaan yang berprestasi tinggi di dalam litar lumba Sepang, Kuala Lumpur dan berpeluang untuk belajar banyak perkara tentang pemanduan.

    Sebanyak 16 buah kereta Porsche telah diuji pandu bagi kursus pemanduan yang dianjurkan oleh Porsche Asia Pasifik.

    Walaupun cuaca di litar Sepang agak mendung dan sedikit berjerebu, tetapi para peserta masih teruja untuk melakukan uji pandu barisan kereta Porsche yang disediakan. Semasa sesi uji pandu itu, para peserta berpeluang melakukan uji pandi semua 16 buah model Porsche yang menampilkan 718 Caymen GTS, Panamera Turbo S e-Hybrid, 911 Targa, 911 GT3, Porsche 718 Boxster serta Boxster S dan banyak lagi.

    Sepanjang sesi uji pandu dan kursus pemanduan kereta Porsche ini, apa yang menarik perhatian adalah kereta Porsche 911 GT3 RS yang dijana unit enjin 6-silinder 4.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa 500hp dan tork puncak 460Nm.

    Daripada keadaan statik hingga 100km/j, ia mampu melakukan dengan catatan masa 3.3 saat dengan penggunaan bahan api sebanyak 12.7 liter per 100km.

    Barisan Porsche 911 GT3 memiliki gaya tersendiri.
    Barisan model kereta Porsche 911, 718 dan Panamera antara 16 buah kereta Porsche yang diuji pandu.

    Yang menarik lagi, kereta ini 10kg lebih ringan berbanding 911 GT3 di mana bahagian bumbungnya diperbuat daripada magnesium dan penggunaan gentian karbon pada beberapa bahagian. Kehadiran spoiler belakang yang besar dan tinggi pula membuatkan ia tampak lebih garang.

    Semasa melakukan uji pandu kereta ini, para peserta dapat merasakan kereta Porsche 911 GT3 adalah yang terbaik daripada semua barisan Porsche yang dipandu uji. Dengan tatacara pemanduan berlumba yang betul, penggunaan kereta tersebut 911 GT3 sangat dipercayai.

    Sementara itu, kereta Panamera Sport Turismo, Panamera 4 Sport Turismo, Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo antara yang menjadi pilihan awal untuk di uji cuba di litar lumba Sepang. Panamera sebenarnya model penting Porsche yang membolehkan ia bersaing dalam pasaran kereta saloon mewah. Sebelum ini, Porsche hanya mempertaruhkan Cayenne bagi pilihan model empat pintu mereka.

    Panamera mula diperkenalkan ke pasaran dunia pada tahun 2009 dan generasi kedua model Panamera ini menampakkan rupa Porsche sebenar dan Porsche juga memperkenalkan Sport Turismo yang tampil model sedan yang lebih mantap.

    Berbeza dengan Panamera biasa, Sport Turismo adalah gaya gabungan hatchback dan wagon.

    Ia dilengkapi dengan Porsche Active Aerodynamics (PAA). Sayap belakang kereta dilaras pada tiga kedudukan bergantung kepada cara pemanduan. Semasa keadaan kritikal, ia memberi tekanan sehingga 50kg pada gandar belakang.

    Kawalan Porsche 718 Caymen GTS sedang diuji.
    Uji pandu Porsche Panamera e-Hybrid.

    Ia diintegrasikan dengan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) dan Porsche Traction Management (PTM).

    Manakala 718 Cayman GTS dan 718 Boxster GTS pula berbeza. Bagi generasi terkini ini, kedua-dua model dua-tempat duduk ini mengadaptasi prinsip legenda GTS dengan membawakan dinamik yang cukup tinggi dan Porsche yang tipikal bagi keselesaan pengendalian, efisien dan elemen eksklusif yang ditampilkan.

    GTS atau lebih dikenali sebagai Gran Turismo Sport, pertama diperkenalkan pada model 904 Carrera GTS dalam tahun 1963. Ia terkenal dengan prestasi perlumbaan di trek dan juga jentera kegunaan harian serba sporty. Pada kali ini, ia diadaptasikan pula pada Boxster GTS dan Cayman GTS. Bagi model baharu GTS ini, Porsche telah mengimplementasikan dua enjin paling berkuasa yang pernah digunakan dalam kejuruteraan Boxster atau Cayman. Kedua-duanya ialah enjin jentera sport yang menggabungkan tork yang mantap dengan kuasa yang tinggi. Porsche telah menilai semula enjin ini dengan kejuruteraan terkini bagi memantapkan lagi prestasinya.

    Kedua-dua jentera dipadankan dengan enjin 3.4 liter enam-silinder, dengan Boxster GTS mampu mencapai kuasa sehingga 330 hp pada 4,500-5,800 rpm dan Cayman GTS pula 340 hp pada 4,750-5,800 rpm. Malah enjin ini juga telah mengoptimakan proses bagi bahan pembakaran oleh kawalan pemboleh ubah. Limpahan kuasa ini membolehkan Boxster GTS dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 4.7 saat, manakala Cayman GTS pula 0.1 lebih pantas.

    Model-model lain yang diuji cuba antara ialah 911 Carrera T, Cayenne Turbo, 911 Carrera S Cabriolet dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda