Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Puluhan ribu orang membanjiri ibu negara malam tadi untuk menyaksikan upacara penuh bersejarah perasmian jambatan baru yang menghubungkan Sungai Kebun dan pusat bandar yang akan menjadi satu lagi mercu tanda penting dan ikon bagi Negara Brunei Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan perasmian jambatan sepanjang 750 meter yang menelan belanja kira-kira $139 juta yang Baginda namakan sebagai Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Berangkat sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta ahli kerabat diraja yang lain. Upacara perasmian berlangsung dalam suasana penuh gemilang dan berwarna-warni, diserikan pula dengan persembahan bunga api, perarakan 38 buah kapal dan perahu berhias dan persembahan kesenian dan kebudayaan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam sembah alu-aluannya menyatakan, projek pembinaan jambatan berkenaan merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 yang mula dibina pada bulan Julai 2013 dengan peletakan batu asasnya berkenan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
“Jambatan penghubung baru ini adalah untuk menghubungkan Kampung Sungai Kebun dan Jalan Residency di kawasan Bandar Seri Begawan dan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tutong.
“Di samping itu, jambatan penghubung ini juga memendekkan perjalanan dengan melalui jambatan ini ke persimpangan Kampung Tarap Bau dengan memakan masa lebih kurang lima minit sementara perjalanan menuju ke Kampung Lumapas memakan masa kira-kira sepuluh minit,” ujar Yang Berhormat Pehin.
Menurutnya, dengan adanya jambatan ini akan secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat tempatan, mencapai kemajuan yang mapan sekali gus mewujudkan peluang perniagaan terutamanya di kawasan bandar.
Jambatan itu juga akan menambah keindahan suasana persekitaran Bandar Seri Begawan serta menjadi satu tarikan para pelawat dan pelancong baik dari dalam mahupun dari luar Negara.