Thursday, February 29, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Detik manis terima anugerah PKBN

    Oleh Syahmi Hassan

    Memasuki Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) adalah atas dorongan diri sendiri bagi Awang Muhammad Sukhairol Suharae bin Abdulah Suhardi, yang merupakan penerima anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Kawad PKBN Pengambilan ke-11, agar beliau dapat mendisiplinkan diri supaya mampu berdikari nanti dan tidak sentiasa mengharapkan pertolongan ibu bapa atau penjaga selain menjadikan badannya lebih sihat.

    Beliau semasa ditemui Media Permata selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-11 di Kem Latihan PKBN, mengongsikan perasaan gembira dan syukur kerana telah menerima anugerah daripada raja yang tercinta.

    Selain itu, Awang Muhammad Sukhairol Suharae juga mengongsikan pengalaman paling berharga sepanjang menjalani program PKBN.

    “Bersama platun saya sendiri iaitu Platun 7, susah senang itu kami harungi bersama. Tidak dilupakan jua ketua platun, jurulatih dan staf kami kerana sentiasa memberi kami sokongan yang kuat dan didikan ilmu yang berkualiti sehingga kami dapat mencapai kejayaan dalam PKBN ini,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan kepada para belia di luar sana untuk menerapkan empat prinsip yang dijunjungnya, “Berdoa kepada Allah SWT; usaha tangga kejayaan; ikhtiar dengan keadaan; tawakal kepada Allah SWT, Insya Allah jika empat perkara ini kamu lakukan,rezeki tidak akan ke mana.”

    Dayang Nur Insyirah Batrisya bergambar bersama keluarganya.
    Awang Muhammad Sukhairol Suharae bersama nenek dan adiknya semasa ditemui.
    Dayang Hazirah Maisarah semasa ditemui media bersama ibu dan adik-beradiknya.
    Awang Mohammad Addey bergambar kenangan bersama keluarganya.

    Neneknya, Awang Saliman bin Haji Yunus dan Pengiran Zana binti Pengiran Haji Said yang hadir di upacara tersebut meluahkan rasa terharu mereka bercampur perasaan bangga dan puas hati kerana usaha yang dicurahkan oleh cucunya dalam PKBN dan kejayaan yang dicapai sudah cukup berharga kepada mereka.

    Awang Saliman berkata tujuan cucunya, Awang Muhammad Sukhairol Suharae memasuki PKBN adalah, “Supaya beliau dapat merasai dan belajar erti kehidupan, bagaimana rasanya mencari duit sendiri, mesti pandai berdikari, kerana kalau suatu saat kami tiada lagi siapa akan memberi mereka makan.”

    Manakala Pengiran Zana berkata, “Kami harap setelah tamat (latihan), dengan ilmu dan pengalamannya dari PKBN itu dapat membantunya memasuki rekrut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.”

    Sementara itu, Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, Dayang Nur Insyirah Batrisya binti Haji Zainuddin yang turut ditemu bual media, antara lain mengongsikan perasaan gembiranya setelah menerima anugerah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Saya juga gembira kerana dapat membanggakan ibu bapa saya,” kongsi Dayang Nur Insyirah Batrisya.

    Mengenai sebab menyertai program PKBN, Dayang Nur Insyirah berkata ia adalah hasil dorongan bapanya untuk menimba ilmu pengetahuan yang tidak mungkin diperoleh semasa persekolahan.

    “Sepanjang program tersebut, saya dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan, berjarih, didenda dan suka duka bersama-sama. Ia merupakan satu pengalaman yang berharga yang mengajar saya erti persahabatan sebenar,” ujarnya.

    Haji Zainuddin mengulas lanjut, “Saya dan isteri berasa amat terharu. Ia ibarat satu kejutan buat kami sebagai ibu bapa. Alhamdulillah, kami bersyukur beliau dapat melakukannya dengan baik dengan mengikuti semua jenis program pembelajaran duniawi dan ukhrawi yang disediakan oleh PKBN terutamanya latihan ala ketenteraan.”

    Dayang Nur Insyirah turut menggalakkan belia untuk menyertai PKBN kerana ia boleh mendisiplinkan diri kita, sangat berguna untuk masa hadapan, namun apa yang penting adalah semangat mesti ada.

    Seorang lagi pelatih, Dayang Hazirah Maisarah binti Hamdillah berkata tujuannya menyertai PKBN adalah untuk melatih diri beliau menjadi seorang yang berguna di kemudian hari.

    Beliau yang merupakan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, semasa ditemui terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Allah SWT dan menyembahkan rasa junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan.

    Dayang Hazirah Maisarah juga berkata semasa menjalani PKBN, semua kenangan di sana merupakan kenangan yang indah.

    “Tapi yang paling berharga adalah belajar cara berkawad dan tatatertib sewaktu berada di padang kawad,” tambahnya.

    Ibunya, Hajah Masnonah binti Haji Alias turut menzahirkan rasa gembira dan terharunya melihat kejayaan yang dicapai oleh anaknya.

    “Ia adalah keinginannya sendiri untuk memasuki PKBN. Saya hanya mampu menyokong dan memberinya semangat,” kongsi Hajah Masnonah yang berharap agar anaknya akan memperoleh kejayaan pada masa hadapan setelah tamat dari PKBN.

    Manakala Awang Mohammad Addey bin Someun yang merupakan Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani, berkata dia mengikuti kem latihan PKBN adalah kerana untuk melengkapkan syarat bagi menamatkan pengajian di IBTE selain dorongan daripada ibu bapanya.

    Ibunya, Dayang Siti Aidah binti Haji Emran turut bergembira atas pencapaian anaknya.

    “Saya amat berbangga kerana tidak di-sangka, dalam ramai-ramai pelatih, anak saya terpilih untuk mendapat anugerah daripada Baginda Sultan sendiri.”

    Pengalaman beliau yang paling berharga semasa PKBN adalah mengetahui kemampuan dirinya sendiri.

    Awang Mohammad Addey di hujung temu bual menasihatkan belia supaya jangan mudah berputus asa atau mengalah dan sentiasa bersemangat untuk menghadapi segala jenis cabaran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Suspek lelaki kes tembakan ditahan

    SYDNEY, 28 FEB – Seorang suspek lelaki telah ditahan di Sydney, Australia, hari ini selepas kejadian tembakan di daerah pusat perniagaan bandar itu telah...