Detik penting projek hidrogren Brunei-Jepun

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 27 NOV – Selepas lebih setahun kerja antara agensi-agensi dan syarikat yang berpangkalan di Brunei dan Jepun, Advanced Hydrogen Energy Chain Association for Technology Development (AHEAD) telah melancarkan Loji Demo Hidrogen bagi Projek Demonstrasi Rangkaian Bekalan Hidrogen Global di Tapak AHEAD, Tapak Perindustrian Sungai Liang (SPARK), hari ini.

Projek berkenaan merupakan yang pertama di dunia dan dilaksanakan secara kerjasama antara Brunei dan Jepun dengan dikendalikan dan diuruskan oleh konsortium Jepun.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan peristiwa penting bagi kedua-dua buah negara itu ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein yang dialu-alukan oleh Presiden AHEAD, Hideki Endo.

Turut hadir selaku tetamu khas ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto; Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua Kampung Labi 1, Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, penduduk sekitar Mukim Liang, rakan-rakan projek serta perwakilan dari jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat dari Brunei Darussalam dan Jepun.

Setelah majlis pecah tanah bagi Loji Demo Hidrogen AHEAD diadakan pada awal tahun lalu (21 April 2018), tapak berkenaan telah berkembang dan dibangunkan, dengan kerja pembinaan berjalan lancar dan siap menjelang penghujung September lalu.

Tetamu kehormat bersama jemputan khas memotong reben bagi merasmikan Loji Demo Hidrogen berkenaan.

Loji yang dilancarkan pada hari itu beroperasi dengan menghasilkan hidrogen daripada gas asli menerusi proses reformasi stim serta menggunakan pelbagai teknologi untuk memastikan pengangkutan jarak jauh yang selamat bagi hidrogen berkenaan.

Hideki Endo dalam ucapan ringkasnya berkata, operasi projek berkenaan telah menunjukkan kepositifan apabila hidrogen pertama telah dieksport dari Pelabuhan Muara ke Jepun pada 17 November lalu, operasi-operasi dijadualkan diteruskan kira-kira selama setahun.

Beliau menyatakan bahawa hidrogen yang dieksport akan digunakan sebagai bahan api bagi penjana kuasa turbin gas Toa Oil Company di Bandar Kawasaki, Jepun.

Projek berkenaan dibiayai agensi penyelidikan dan pembangunan kebangsaan, NEDO dan berfungsi untuk menunjukkan daya maju rangkaian bekalan hidrogen menggunakan kaedah organic chemical hydride.

Oleh itu, salah satu faktor utama dalam kejayaan projek berkenaan adalah pengangkutan bekalan hidrogen dari Brunei ke Jepun, dengan jarak lebih 5,000km, yang boleh dilakukan dengan menggunakan Teknologi Hidrogen SPERA, Chiyoda iaitu dengan mengubah hidrogen menjadi cecair pada suhu dan tekanan sekeliling.

Dengan pelancaran loji demo berkenaan, ia merupakan langkah penting bagi pengkomersilan projek berkenaan selepas 2020 dan dengan menggunakan hidrogen bagi penjanaan tenaga bebas karbon dioksida, akan membantu menyumbang ke arah memenuhi Perjanjian Paris.