Devan puji disiplin pemain

SEREMBAN, 1 OGOS – Pengendali  Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan menyifatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC II dalam aksi Liga Premier 2021 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam adalah hasil disiplin tinggi para pemain.

Devan berkata jaringan awal pada babak pertama oleh Nasrullah Hanif Johan menyuntik semangat skuad untuk tampil konsisten sehingga tamat perlawanan.

“Pasukan dapat mengawal perlawanan dengan baik berbanding menentang Selangor FC II minggu lepas. Jaringan awal pada minit ke-19 menaikkan semangat pemain untuk menambah tiga gol lagi dalam separuh masa pertama,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam. 

Devan bagaimanapun mengingatkan anak buahnya agar tidak mendabik dada dengan kejayaan itu, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi dalam aksi seterusnya.

Beliau berkata tiada perlawanan yang mudah dan setiap pasukan lawan mempunyai kelebihan tersendiri dan bergantung kepada usaha pasukannya sendiri untuk kekal kompetitif di padang.

“Dalam bola sepak, kami tidak menganggap setiap perlawanan adalah mudah. Sebaik anda fikirkan mudah, ia akan menjadi sukar. Jadi kita harus fokus kepada objektif dan sasaran kita. Setiap lawan kita perlu beri perhatian serius,” katanya.

NSFC kini menghuni takhta Liga Premier selepas mengumpul 26 mata, satu mata mengatasi Terengganu FC II (TFC II).- Bernama