PETALING JAYA, 14 JULAI – Dewan Perdagangan ASEAN dan MOFAZ Dagang Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa (IAIB) Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) untuk meneroka potensi pasaran halal di perkumpulan negara bekas Soviet itu.
Presiden Dewan Perdagangan ASEAN Datuk Moehamad Izat Emir berkata susulan pemeteraian itu, dewan tersebut dan MOFAZ akan memberi tumpuan utama kepada makanan halal untuk menembusi negara CIS yang mempunyai populasi penduduk kira-kira 240 juta.
Moehamad Izat berkata beliau akan mengetuai delegasi ke pameran perdagangan di Moscow, Rusia pada Oktober ini.
“Saya percaya ia akan menjadi permulaan yang baik kepada kita untuk menerima permintaan di Rusia, dan secepat mana kita boleh menembusi pasaran Rusia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama delegasi IAIB yang diketuai presidennya, Marat Kabaev di sini hari ini.
Terdahulu, Kabaev berkata persatuan itu berminat dengan produk halal Malaysia selain industri halal di negara ini.
IAIB ialah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan di Moscow, Rusia bertujuan membangunkan perniagaan dan hubungan ekonomi dengan negara-negara Islam. – Bernama
