Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Dharma Dunia bimbing ke arah kesempurnaan hidup

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Luanloko

    Semasa kita melangkah meniti kehidupan yang fana, kadang-kadang kita terleka dibawa arus duniawi yang penuh pancaroba namun bila tiba waktu kita pasti kembali kepada Maha Pencipta seluruh alam.

    Kita sebagai manusia perlulah sentiasa muhasabah diri menggapai reda Ilahi. Segala tindak-tanduk yang kita lakukan pasti akan menerima akibat mahu pun ganjaran dariNya.

    Dengan menjunjung prinsip-prinsip moral dan berbuat baik sesama makhluk pasti segalanya akan menuntun kita ke arah jalan kesempurnaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Begitulah luahan ungkapan salah seorang artis hip-hop dan rap tanah air, Luanloko yang terus bangkit mewarnai industri muzik tempatan dan luar negara dengan mengeluarkan lagu baharunya, Dharma Dunia, hasil kolaborasi nyanyian bersama Adeep Nahar selaku penggiat seni muzik berasal dari Malaysia, baru-baru ini.

    Berkesempatan dihubungi penulis, Luanloko atau nama sebenarnya Jasmin Hassan, menyatakan lagu baharu berkenaan memiliki makna tersirat berkisar nasihat dan ketuhanan yang merupakan salah satu genre hip-hop dan rap Nusantara dengan alunan muzik dari sentuhan peribadi manakala lirik lagu pula hasil gabungan antara beliau bersama Red Rahimad.

    Makna di sebalik Dharma Dunia

    Setelah tampil dengan lagu Semboyan yang mengangkat nama beliau sekitar penghujung tahun lepas, Luanloko berkongsi lanjut bahawa perkataan dharma itu berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud hukum atau kenyataan.

    Luanloko tampil dengan lagu baharu berjudul Dharma Dunia, hasil kolaborasi nyanyian bersama Adeep Nahar.
    Luanloko tampil dengan sentuhan lagu Semboyan sekitar penghujung tahun lalu yang telah mengangkat nama beliau.

    Tambahnya, melalui lagu baharu berkenaan terselit beberapa pengajaran yang menggambarkan tentang kehidupan dan tindakan akibat kelakuan manusia di dunia ini.

    “Sejujurnya apa yang mendorong diri ini untuk menghasilkan bait kata-kata lagu ini adalah selitan harapan tulus di hati ini agar semua lapisan masyarakat yang mendengarkannya mampu membuka mata dan jiwa untuk selalu berbuat kebaikan walau di mana kita berada,” luahnya lanjut sambil berkongsi lagu baharu berkenaan boleh didengar menerusi semua platform seperti Youtube, Spotify, Deezer, Apple Music, Amazon Music, Joox dan sebagainya.

    Sentiasa sahut cabaran

    Mengimbas kembali detik mencipta lagu baharu berkenaan, Luanloko menjelaskan beliau mengambil masa lebih kurang setahun untuk menyelesaikannya, lebih-lebih lagi lagu berkenaan dicipta semasa masyarakat dunia berdepan dengan penularan wabak COVID.

    “Hadirnya ilham lagu ini waktu saya bermain papan nada pada waktu tengah malam, di mana saya mencuba menyusun melodi dan kod muziknya.

    “Kemudian baharulah saya berkongsi cetusan idea kepada pihak produser dan juga bersama salah seorang penulis lagu, Red Rahimad dan Alhamdulillah karya ini pun tercipta,” kongsinya dengan penuh kesyukuran.

    Sehubungan itu, Luanloko turut merakamkan kegembiraan apabila menyaksikan perkembangan seni muzik tanah air yang kian berkembang dengan variasi muzik lagu yang dikeluarkan lebih-lebih lagi daripada penyanyi mahu pun komposer tempatan sendiri sehingga sesetengahnya berjaya menembusi pasaran luar negara.

    “Saya ingin melihat lebih ramai yang berani untuk tampil mencuba dan mengembangkan bakat terutama sekali kepada yang ingin menceburi industri muzik kerana memang bukan sesuatu yang mudah untuk mengekalkan semangat dalam bidang muzik.

    “Adalah menjadi harapan saya agar kita semakin menghargai dan saling menyokong antara satu sama lain demi memajukan industri muzik di negara ini,” ujarnya semasa mengakhiri kata-katanya, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...