Dharma Raj sasar jinakkan Itali, Ireland

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Ketua jurulatih skuad hoki wanita Malaysia, Muhammad Dharma Raj Abdullah mahu para pemainnya menewaskan Itali dan Ireland di Liga Hoki Dunia (WHWL) Pusingan Dua, untuk memastikan tiket ke pusingan separuh akhir.

Sehubungan itu, beliau mahukan skuadnya bangkit memberikan persembahan meyakinkan di kejohanan dari 14-22 Jan di Stadium Tun Razak, di sini, walaupun ranking Malaysia pada kedudukan 21, adalah rendah dari Itali (15) dan Ireland (16).

“Sebelum ini, pemain belum pernah menewaskan Itali atau Ireland tetapi selepas menjalani latihan rapi dan mengikuti perlawanan dalam beberapa siri jelajah serta faktor bermain di tempat sendiri, apa sahaja boleh berlaku di peringkat kalah mati.

“Walaupun mungkin kita tidak dapat menewaskan mereka setiap masa, kita ada peluang untuk menang sekurang-kurangnya satu daripada tiga perlawanan.

“Kami akan cuba mendapatkan satu kemenangan dalam kejohanan ini untuk mencapai sasaran menduduki dua tempat teratas dan mara ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan skuad Malaysia di sini hari ini.

Malaysia perlu berada dalam kelompok tiga teratas untuk mara ke pusingan separuh akhir yang diadakan dalam dua edisi, di Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai dan Afrika Selatan dari 8-23 Julai.

Pusingan akhir akan dilangsungkan di New Zealand pada November, yang menawarkan tiket ke Piala Dunia 2018.

Hanya 10 atau 11 pasukan teratas daripada WHWL bersama tuan rumah Piala Dunia 2018, England dan lima juara benua akan mara ke kejohanan berprestij itu.

Skuad itu mengakhiri 2016 dengan persembahan membanggakan sewaktu siri jelajah di China, Jepun, New Zealand dan Australia.

“Tempoh 10 hari terakhir ini semua sudah rasa tertekan dan banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dalam hoki, jika pertandingan itu seri pada peringkat kalah-mati, tiada masa tambahan diberikan tetapi ia akan terus ke penentuan penalti.

“Kami berlatih sepanjang hari untuk mengemaskan ‘set piece’ pukulan sudut penalti bagi membantu pasukan mendapat kemenangan. Tiada pasukan yang mahukan penentuan penalti kerana tekanannya cukup tinggi seperti terkena sakit jantung.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Hong Kong pada 14 Jan, diikuti Ireland (16 Jan) dan Kazakstan (17 Jan) manakala Kumpulan A terdiri daripada Itali, Wales, Thailand dan Singapura. – Bernama