DHL berjaya hantar kumpulan pertama vaksin ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 FEB – DHL Express telah berjaya menghantar kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia.

Penyedia perkhidmatan ekspres itu berkata perancangan dan pengujian yang teliti telah dilakukan bagi memastikan rantaian bekalan menyokong keperluan suhu yang ketat terhadap vaksin.

“Dalam tempoh tiga hari, DHL Express telah bekerjasama dengan anak syarikat kargo Malaysia Aviation Group, MABkargo Sdn Bhd untuk menerbangkan vaksin berkenaan dan kemudian mengatur agar ia dihantar terus ke kemudahan

yang ditentukan di seluruh Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata antara cabaran utama yang dihadapi dalam penghantaran vaksin COVID-19 adalah syarat suhu vaksin yang ketat.

Vaksin itu dihantar dalam pembungkusan penghantar termal yang direka, yang telah disesuaikan oleh pengeluar. – Bernama