DHL Express naikkan harga perkhidmatan Jan 2022

KUALA LUMPUR, 20 SEPT – DHL Express Malaysia akan menaikkan harga purata perkhidmatannya sebanyak 4.9 peratus, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pelarasan harga tahunan itu mengambil kira inflasi dan kedinamikan mata wang serta kos pentadbiran yang berkaitan dengan peraturan dan langkah-langkah keselamatan.

“Langkah-langkah ini dikemas kini secara berkala oleh pihak berkuasa nasional dan antarabangsa di setiap lebih daripada 220 negara dan wilayah yang mendapat perkhidmatan DHL Express,” katanya.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata pelarasan harga tahunan ini membolehkan syarikat melabur dalam infrastruktur dan teknologinya untuk memastikan penyelesaian pelanggan yang berdaya tahan, mampan dan terbaik.

“Ini termasuk pesawat dan ken-deraan canggih serta pengembangan hab dan gerbang kami untuk meningkatkan kapasiti kerana permintaan untuk pengiriman rentas sempadan perkhidmatan pantas terus meningkat,” tambahnya. – Bernama