(Siri 2)
Oleh Rady Hf –
Pagi itu, bunyi siren polis dan ambulans memecah kesunyian kawasan perumahan. Jiran-jiran terkejut melihat kereta polis berbaris di hadapan rumah Maria.
Mereka berbisik-bisik, tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku malam tadi.
Di dalam rumah, Maria duduk di atas sofa, tubuhnya terhuyung-hayang seperti boneka yang kehilangan jiwa.
Tangannya masih berlumuran darah Harun, tetapi hatinya terasa kosong.
Pegawai polis yang berada di situ cuba menenangkan Maria, tetapi wanita itu kelihatan seperti tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya.
Pandangannya kosong, jauh, seolah-olah terperangkap di dalam mimpi buruk.
“Encik, dia dalam keadaan trauma. Mungkin lebih baik kita bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan,” bisik salah seorang paramedik kepada pegawai penyiasat.
“Baiklah,” balas pegawai itu. Dia memandang Maria, kemudian menyoal dengan lembut,
“Puan, boleh kami bawa puan ke hospital?”
Maria hanya mengangguk kecil. Dia tidak melawan ketika mereka membawanya keluar dari rumah.
Tatapannya tertumpu ke lantai, tanpa mempedulikan mayat suaminya yang sedang diuruskan oleh pasukan forensik.
Di hospital, Maria ditempatkan di bilik pengawasan.
Seorang doktor psikiatri, Dr Kamal, datang melawatnya. Dia melihat Maria duduk di katil, masih membisu.
Dia tahu wanita itu memerlukan rawatan psikologi yang mendalam, tetapi sebelum itu, dia perlu mendapatkan penjelasan. Polis sudah memaklumkan bahawa Maria terlibat dalam kes kematian suaminya, tetapi keadaan sebenar masih kabur.
“Maria,” panggil Dr Kamal dengan lembut. I am Dr Kamal. I want to help you, but I need you to tell me what really happened.”
Maria memandang Dr Kamal sejenak sebelum matanya kembali tunduk.
Dia menggenggam erat kain cadar hospital, cuba menenangkan dirinya.
“Saya… saya tak tahu di mana nak mula,” suaranya perlahan, serak. “Semua berlaku begitu cepat.”
“It’s okay, Maria. Take your time. I’m here to listen,” balas Dr Kamal dengan nada yang penuh kesabaran.
Maria menarik nafas panjang, cuba mengatur kata-katanya. “Saya… saya tak sangka perkara ini akan berlaku. Saya cuma nak… semuanya berakhir.”
“Berakhir macam mana, Maria?”
“Harun… dia bukan lagi lelaki yang saya kenal dulu. Dia berubah.
“Dia jadi kejam, dingin. Setiap hari bersamanya seperti neraka… Saya cuma nak keluar dari semua ini.
“Saya fikir, kalau dia mati, hidup saya akan jadi lebih baik,” Maria menjelaskan, air matanya mula bergenang.
Dr Kamal mengangguk perlahan, cuba memahami situasi yang dihadapi Maria. “Jadi, awak rancang untuk meracunnya?”
Maria mengangguk lemah. “Ya. Tapi… saya tak sempat. Gelas itu pecah dan kemudian… semuanya jadi huru-hara.
“Dia… dia cuba membunuh saya. Saya hanya mempertahankan diri.”
Dr Kamal diam sejenak, merenung jauh. Situasi itu lebih rumit daripada yang disangka.
Namun, apa yang penting kini adalah memastikan Maria mendapat rawatan yang sewajarnya.
“Maria, awak berada dalam situasi yang sangat mencabar dan saya faham tekanan yang awak rasakan.
“Tetapi apa yang berlaku perlu disiasat dengan lebih lanjut. The police will ask questions and you have to tell everything honestly.”
Maria hanya diam, tangisannya semakin kuat. “Saya tak sangka… saya tak sangka ini akan jadi begini.
“Saya tak berniat… saya tak sangka dia akan mati.”
Beberapa hari berlalu. Maria masih di bawah pemerhatian di hospital, namun keadaan mentalnya semakin teruk.
Setiap malam, dia dihantui mimpi buruk yang sama – wajah Harun yang penuh darah, mata suaminya yang memandangnya dengan penuh dendam, seakan-akan mengejarnya walau di mana dia berada.
Pada suatu malam, ketika suasana hospital sunyi, Maria terdengar sesuatu.
Bunyi langkah kaki. Pada mulanya, dia fikir ia hanya imaginasi, tetapi bunyi itu semakin jelas. Langkah itu menuju ke biliknya.
“Siapa… siapa di sana?” bisik Maria dalam kegelapan.
Tiada jawapan. Hanya langkah yang semakin dekat.
Maria mula panik, tubuhnya menggigil. Dia cuba menenangkan diri, memikirkan mungkin ia hanyalah seorang jururawat yang membuat rondaan malam. Namun, hatinya tidak tenang.
Langkah itu tiba-tiba berhenti di depan pintu biliknya. Tiba-tiba, pintu bilik dibuka perlahan.
“Harun?” Maria terpekik kecil, tubuhnya terasa seperti kaku di tempat tidur.
Di depan pintu, bayangan seorang lelaki berdiri.
Mata Maria membelalak, jantungnya berdegup kencang.
Dia cuba untuk bangun, tetapi tubuhnya seperti tidak mahu bergerak.
Lelaki itu melangkah masuk, wajahnya samar-samar di bawah cahaya bulan yang menembusi tingkap. Dia mendekati Maria dan ketika wajahnya semakin jelas, Maria menjerit ketakutan.
“Tidak! Kau dah mati! Kau tak boleh ada di sini!” Maria menangis, memeluk dirinya sendiri.
Bayangan lelaki itu hanya memandangnya dengan dingin.
“Maria…” suara itu kedengaran, parau dan berat. “Kau fikir kau boleh lari daripada apa yang kau buat?”
Maria menutup matanya, cuba menghilangkan bayangan itu. “Ini cuma mimpi… ini cuma mimpi…”
Tetapi suara itu semakin dekat. “Tidak, Maria. Ini bukan mimpi. Kau akan tanggung apa yang kau buat… selamanya.”
Maria membuka matanya semula dan lelaki itu sudah hilang.
Hanya kegelapan yang menyelimuti biliknya, tetapi dia masih dapat merasakan kehadirannya.
Kedinginan menusuk hingga ke tulang.
Dia menangis sendirian dalam kegelapan, tak mampu membezakan realiti dan ilusi.
Bayang-bayang Harun terus menghantui fikirannya, tidak membenarkannya melarikan diri dari dosa yang pernah cuba disembunyikannya.
Dan malam itu, Maria sedar satu perkara – tiada jalan keluar.
Dosa itu akan terus menghantuinya, selamanya.