Di robek-robek

BERKERUT-KERUT wajah Dessi mendengar cerita yang keluar dari mulut Hafna. “Kau kenalah ikhtiar. Kalau satu jalan mati, carilah jalan lain.” Ujar Hafna memberi semangat.

Semak fikirannya. Sesak dadanya kerana sikap Dessi yang mudah mengalah. “Aku rasa biarlah. Lagipun Dani bukannya ceraikan aku. Dia cuma nak tambah lagi satu.” Balas Dessi perlahan.

“Hesy, kau ni! Madu lebah tu manis tapi madu yang ini, pahit. Aku taulah aku dah rasa. Last last, dengan aku, dengan anak-anak sekali kena halau.

Semua angkara perempuan tu lah. Madu ni bukan untuk semua orang.

Takde perempuan yang rela. Kau ni pun rela dalam terpaksa kan? Kau takut kehilangan Dani sebab tu kau relakan tapi hati kau meronta-ronta.

Aku tau. Kau kawan aku.” Hafna mahu kawannya itu berpijak di bumi yang nyata. Tidak ada kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan jika terpaksa bermadu. Dia sendiri adalah bukti dan saksi keperitan hidup bermadu.

Dessi mengeluh. “Aku sayangkan Dani. Aku tak nak kehilangan dia.” Ucap Dessi. “Aku tau sebab tu lah aku nak kau jumpa dengan Dukun Robek.

Dia jarang terima orang. Setahun 1 orang je. Aku dah bagi nama kau kat isteri dia. Dia dah setuju. Kalau tak pergi kali ni, dah takde peluang lagi dah.” Pujuk Hafna.

“Kenapa setahun sorang je? Dia memang takde customer kot. Kau je percaya yang kononnya dia tu bagus lah apa. Entah-entah, dah lama dia takde customer.”

Sanggah Dessi mula curiga

“Dukun Robek ni dia pentingkan kualiti dari kuantiti. Lagipun aku kenal customer last dia.

Tahun lepas dia ada buatkan azimat untuk kawan aku tu. Memang berhasil. Kawan aku tu ibu tunggal macam aku juga.

Lepas kena tinggal dengan suami dia, dia berjumpa dengan dukun tu. Lepas seminggu je, kawan aku tu jadi kaya. Bisnes dia meletup.

Aku nampak sendiri perubahan dalam hidup dia sebab tu aku yakin Dukun Robek is the real deal. Bukan penipu. Kalau nak menipu, baik dia ambil customer banyak-banyak. Lepas kumpul duit, terus berambus.” Hafna terus cuba meyakinkan Dessi.

“Yelah. Kita cuba.” Dessi bersetuju akhirnya. Hafna kawan sejak dari sekolah. Kalau Hafna yang rekomen, jarang tersasar.

Malam itu, mereka berdua berjalan kaki ke perhentian bas. Itu arahan dari isteri Dukun Robek.

Dalam setengah jam menunggu, barulah sebuah van gelap tiba. Kedua mereka diarahkan masuk oleh seorang lelaki yang datang dan membisikan nama Dukun Robek pada mereka.

Mereka masuk ke dalam perut van. “Eh, apa ni?” soal Dessi bila kedua matanya ditutupi kain lalu diikat ke belakang.

“Rileks. Memang prosedur dia macam ni.” Hafna menenangkan.

Dalam hati, Dessi rasa resah. Hafna ni cakap macam dah biasa. Padahal ni first time kot! Van itu berlalu.

Selepas hampir 20 minit, van itu mula tidak stabil seperti dipandu di jalan yang agak berbatu.

Lama juga mereka di dalam van tersebut. Dek kerana van yang bergegar, Dessi hampir terlena kerana terasa seperti dibuai. “Keluar.”

Satu suara mengarahkan. Dessi dan Hafna membuka kain pengikat mata tadi.

Keduanya melangkah keluar dari van dan tertunak pada sebuah rumah kayu yang cantik buatannya.

Memang nampak seperti rumah kampung biasa saja.

Tidak ada aura rumah seorang dukun. Hati Dessi mulai tenang. Nampaknya dukun orang baik-baik. Mungkin dia jampi pakai ayat al-quran.

Kedua mereka dijemput masuk oleh wanita muda yang memperkenalkan dirinya sebagai isteri Dukun Robek. Dessi meyingung Hafna.

“Dukun ni pun berpoligami jugak ke? Mana dapat isteri muda cantik macam tu.” “Manalah aku tau. Jap gi kau tanyalah dia kalau berani.” Balas Hafna.

Dessi mencebik. Keduanya disuruh duduk di atas hamparan permaidani lembut berdepan dengan lima mangkuk gangsa yang tidak sama saiz. Isinya kosong. Tidak ada sireh, kapur mahupun kemenyan.

Seorang lelaki muda berbaju Melayu dan kain pelikat memunculkan diri lalu duduk berdepan mereka. “Anak Dukun Robek?” soal Dessi pada lelaki itu. Dia tersenyum. “Sayalah Dukun Robek.” Takkan lelaki muda dan kacak ni seorang dukun? Dessi curiga. Dia baru jadi dukun ke? Selalunya, dukun dengan bomoh ni orang tua.

Dessi memandang Hafna meminta penjelasan tapi Hafna menyuruh dia diam. Dessi mencebik.

Dia nampak peluh merenik di dahi Hafna. Kawannya itu nampak tak selesa. Apa kena pula dia ni? Aku yang nak minta ubat, dia pulak yang nervous. Siang tadi beria-ia suruh aku datang. Dia pula yang takut.

Dessi tersenyum melihat gelagat Hafna. “Saudari datang sini sebab nak minta saya pisahkan suami saudari dari perempuan tu kan?” soal Dukun itu. “Ye. Boleh ke?” balas Dessi. “Boleh.

Semuanya beres.” Ujar dukun itu. “Sekarang, kamu cuba lihat ke dalam mangkuk gangsa ini. Beritahu apa yang kamu nampak.” Arah lelaki itu.

Dessi menurut. “Tak nampak apa-apa.” “Cuba lihat lebih lama dan lebih dalam.” Ujar lelaki itu lagi.

Dessi menunduk lebih rendah dan menghampiri mangkuk-mangkuk gangsa yang ada. Dia lihat lebih lama seperti yang disuruh.

Dengan pantas, Dukun Robek mencapai sebilah pisau lalu dia menoreh leher Dessi hingga darah memancut keluar.

Dessi sempat memandang ke arah lelaki itu. Dukun Robek tersenyum. Darah yang mencurah keluar dari leher Dessi ditadah ke dalam mangkuk gangsa tadi. Dessi tidak merasa sakit namun kesal sempat berulas di hati. Dia terpandang Hafna tatkala kepalanya dipusing dengan kasar.

Hafna kelihatan gementar namun sempat Dessi terpandang bibir kawannya itu terjungkit.

Lalu senyuman terukir dan akhirnya dunia Dessi kelam. Dukun Robek darah yang merecik ke wajahnya tadi. Lalu jarinya dijilat bagai menjilat sos. “Manis. Darah muda.

Pandai kau pilih.” Puji Dukun Robek. “Bistu. Kasfa. Gomek. Mari ke mari. Kita jamu selera.” Dukun Robek memanggil isterinya dan dua orang lagi lelaki yang membawa mereka dengan van tadi.

Mereka meluru datang dan mencapai mangkuk gangsa berisi darah tadi. Mereka melanggah minum penuh lazat.

Dukun Robek juga begitu. “Minum.” Arahnya pada Hafna. “Bila kamu minum darah ini, maka kamu akan jadi kawan kamu yang sudah mati ini. Bau badan kamu akan membuatkan suami Dessi akan terus menyayangi kamu selamanya. Itu yang kamu mahukan.

Hitam juga hati kamu. Sama hitam dengan aku. Sanggup kamu merampas suami kawan sendiri.” Ujar Dukun Robek.

“Demi cinta, saya sanggup lakukan apa saja.” Balas Hafna. Dia mencapai mangkuk berisi darah lalu turut diminum sama. Darah yang pekat dan panas itu diminum hingga habis.

“Kalau sudah, saya berangkat dulu.” Beritahu Hafna.

“Nanti dulu.” Dukun Robek menahan. “Pengerasnya.”

Lelaki itu mengingatkan. “Oh.” Hafna mengeluarkan sampul surat berisi wang tunai seperti yang diminta lelaki itu. Dukun Robek berdiri dan menerima sampul dari Hafna.

“Kamu tak mahu tahu mengapa aku digelar Dukun Robek?” soalnya.

Hafna tersenyum. “Tak.” Sepantas kilat, lelaki itu mencengkam dada Hafna dan menusuk ke dalam hanya dengan tangannya.

Dada wanita itu dirobek luas lalu organ dalam itu ditarik keluar dan dilempar pada Bistu, Kasfa dan Gomek.

“Sekarang kamu tau kenapa aku digelar Dukun Robek.” Ujar lelaki itu lalu mengjungkit bibirnya. Carikan isi dalam Hafna yang ditangan disuap ke mulut.