Dia sudah ada kehidupan sendiri – Fendy Adlun

Pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun yang tampil dengan single solo ciptaan sendiri berjudul Mengharapkan Mu, menyangkal dakwaan masih mengharapkan cinta bekas isteri, Nur Nadira Rubiana.

Fendy dan Nur Nadira yang juga ahli kumpulan Caliph Busker, berpisah pada tahun 2017. Namun, berita perceraian mereka hanya didedahkan kepada umum, awal tahun ini. Fendy mengaku dia sudah ‘move on’ dan tidak pernah menagih kembali cinta Nur Nadira. Namun, warganet yang membuat telahan seolah-olah dia menyesali perpisahan itu.

“Tolonglah, jangan kaitkan lagi saya dengan bekas isteri. Dia sudah ada kehidupan sendiri, mungkin sudah bertemu pengganti. Tidak manis sekiranya kami terus dikaitkan.

“Banyak spekulasi yang timbul sebaik lagu itu dilancarkan pada 14 Ogos lalu. Ada yang menuduh saya mengharapkan cintanya semula dan macam-macam lagi. Tapi semua itu hanyalah persepsi mereka saja.

“Masyarakat bebas untuk bercakap apa sahaja, tetapi yang tahu kebenarannya hanya saya. Sejujurnya, lagu itu tiada kaitan langsung dengan bekas isteri.

Fendy Adlun yang tampil dengan single solo ciptaan sendiri berjudul Mengharapkan Mu. – Agensi

“Ia adalah luahan hati saya terhadap seseorang,” katanya kepada media.

Biarpun sudah hampir tiga tahun berpisah, pasangan yang mempunyai cahaya mata berusia lima tahun, Nur Azalea Zafirah, masih berkawan baik.

Fendy berkata, Nur Nadira dan dirinya tidak ada masalah untuk bekerja dalam sebuah kumpulan. Malah, ada masanya mereka bersantai bersama ahli kumpulan yang lain.

“Kami masih boleh bekerja dan minum bersama. Tiada isu yang harus dibangkitkan kerana kami sudah berlapang dada dengan perpisahan yang terjadi.

“Malah, antara kami tidak menyimpan dendam dalam hati,” katanya.

Namun, Fendy berharap masyarakat sedar perceraian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Tidak kiralah insan celik atau yang mengalami kekurangan seperti kami,” katanya.

Sementara itu, berkongsi maksud tersirat dalam lagu Mengharapkan Mu, Fendy yang menggunakan nama samaran Fenela mendedahkan, lagu itu adalah luahan isi hatinya kepada seorang wanita yang baru dikenalinya, tahun lalu.

Namun, kemanisan percintaan dengan wanita normal itu tidak kekal lama apabila perhubungan mereka berakhir.

“Jika boleh diputarkan masa, saya berharap agar kami tidak berkenalan. Untuk apa bertemu jika akhirnya berpisah? Saya anggap pertemuan kami pada waktu yang salah,” katanya.

Jelas Fendy lagi, perhubungan mereka pada mulanya cukup indah. Namun, dia tidak menyangka wanita itu sekadar ingin memainkan hati dan perasaannya.

“Pada awalnya, saya sangat gembira apabila ada wanita celik yang mahukan lelaki buta seperti saya. Tapi apakan daya, tiada jodoh antara kami. Disebabkan patah hati, maka terhasillah lagu ini. Ia adalah luahan perasaan cinta saya yang tidak kesampaian,” katanya.

Dalam pada itu, Fendy menafikan dakwaan kumpulan Caliph Buskers bermasalah sehingga membuatkan dia tampil solo.

Sebaliknya, jelas Fendy, mereka masih bersama, namun masing-masing boleh bergerak secara solo demi kelangsungan hidup. – Agensi