Diabetes punca kematian ketiga utama

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Menurut Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2015-2016, prevalens diabetes di kalangan orang dewasa ialah 9.7 peratus dengan diabetes merupakan punca kematian ketiga utama selepas penyakit jantung dan kanser di Negara Brunei Darussalam.

Pengesanan awal dan seterusnya rawatan diabetes adalah penting untuk mengurangkan risiko kerosakan organ akibat hiperglisemia. Usaha berterusan telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan untuk memudahkan pengesanan awal diabetes melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) serta Program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH).

Diabetes review atau pengawasan diabetes, pendidikan kesihatan, rawatan ubat-ubatan yang terdiri daripada terapi oral dan suntikan insulin serta saringan bagi sebarang komplikasi semuanya ditawarkan di hospital dan pusat-pusat kesihatan.

Pada 2018, peranti pen insulin yang boleh diguna semula telah diperkenalkan dan disediakan secara percuma untuk penghidap diabetes yang memerlukannya. Pemeriksaan tahunan mata (retinopathy screening) dan kaki juga adalah penting bagi membolehkan pengesanan awal, intervensi dan pencegahan kerosakan organ yang mungkin berlaku, yang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan atau pengudungan anggota badan.

Di samping itu, penilaian pakar bagi sebarang komplikasi lain seperti penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang juga tersedia dan boleh diakses melalui rujukan daripada doktor di pusat-pusat kesihatan dan klinik diabetes di hospital-hospital. Jururawat pendidikan diabetes dan pakar pemakanan mempunyai peranan penting dalam memperkasa dan menyokong penghidap diabetes, menyediakan pendidikan diabetes di kalangan masyarakat serta di persekitaran hospital. Walau bagaimanapun, pengurusan diri merupakan kunci untuk mengurus diabetes dengan lebih yakin dan berkesan, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia, hari ini.

“Selain itu, satu daripada enam kelahiran di seluruh dunia dipengaruhi oleh hiperglisemia semasa kehamilan,” jelasnya. “Di Negara Brunei Darussalam, klinik-klinik khusus untuk menjaga wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung ada tersedia dan bertujuan untuk mengurangkan risiko kesan teruk terhadap ibu dan anak damit.”

Beliau menekankan, “Apa yang lebih membimbangkan, ramai yang mungkin menghidap diabetes yang tidak dirawat atau tidak didiagnosis mengakibatkan kemudaratan pada kesihatan dan selanjutnya pada pekerjaan mereka.

“Justeru itu, menangani isu akses yang lebih baik pada penjagaan diabetes untuk mereka ini akan memerlukan kerjasama pelbagai sektor.”

Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato berkata diabetes merupakan penyakit tidak berjangkit yang disebabkan oleh pengeluaran insulin yang tidak mencukupi atau penggunaan insulin yang tidak berkesan oleh badan yang mengakibatkan paras gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia).

Jika ia tidak dirawat, hiperglisemia menyebabkan kerosakan organ dan kematian pramatang di mana diabetes adalah juga punca utama penyebab kehilangan penglihatan, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, strok dan amputasi anggota di bahagian bawah badan.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, satu daripada 10 orang dewasa menghidap diabetes pada 2021. Dianggarkan 537 juta orang dewasa di seluruh dunia kini menghidap penyakit diabetes dan angka itu dijangka akan meningkat ke 643 juta menjelang 2030.

Diabetes menyebabkan 6.7 juta kematian pada 2021 iaitu seorang penghidap diabetes meninggal dunia setiap 5 saat di seluruh dunia.

Menyedari akan ancaman kesihatan global bagi diabetes, ulas Yang Berhormat Dato, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan Hari Diabetes Sedunia pada 1991 yang kini merupakan kempen kesedaran diabetes terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun pada 14 November. Tema untuk Hari Diabetes Sedunia 2021-2023 adalah ‘Akses kepada Penjagaan Diabetes’ yang amat relevan semasa pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Di Negara Brunei Darussalam, kita amat bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah pun menyediakan sistem penjagaan kesihatan percuma bagi perkhidmatan penjagaan diabetes yang komprehensif.”