Diabetes sumbang masalah buah pinggang

ALOR SETAR, 13 Jun – Penyakit diabetes menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 60 peratus kepada masalah buah pinggang hingga menyebabkan pesakit perlu menjalani proses mencuci darah atau hemodialisis.

Pengerusi merangkap Pengarah Perubatan Gedung Penawar Sdn Bhd yang mengendalikan Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina di sini, Datuk Dr Mohd Padzil Daros berkata kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan itu tidak mengamalkan cara pemakanan sihat.

“Kencing manis merupakan penyebab utama kepada kegagalan fungsi buah pinggang, jadi pesakit perlu pastikan mereka jaga pemakanan dan jangan terpengaruh serta mengamalkan ubat-ubat herba yang diberitahu mampu menyembuhkan penyakit.

“Sejak penubuhan pusat hemodialisis ini pa-da 2006, seramai 248 pesakit telah menerima rawatan dan kini 58 pesakit aktif menjalankan dialisis tiga kali seminggu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 58 pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis itu di sini hari ini. – Bernama