Dialog AJCT buka tirai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Dialog ASEAN-Japan Counter Terrorism (AJCT) ke-11 telah bermula hari ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong di mana ia akan berlangsung selama dua hari.

Dialog yang dihadiri oleh wakil-wakil dari negara anggota ASEAN, Jepun dan Sekretariat ASEAN itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Penguatkuasaan) di Jabatan Perdana Menteri, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali bin Pengiran Haji Yakob dan Duta bertanggungjawab bagi Kerjasama Antarabangsa dalam menangani Pengganasan dan Jenayah Terancang Antarabangsa, Jepun, Eiji Yamamoto.

Dialog AJCT dilancarkan pada 2006 sebagai forum bagi berkongsi pandangan situasi pada masa ini mengenai isu pengganasan dan membincangkan projek-projek yang dibiayai di bawah Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF) yang menyumbang kepada usaha menentang pengganasan di peringkat serantau.

Selain itu, JAIF juga bertujuan untuk menyokong usaha-usaha integrasi dalam membentuk Komuniti ASEAN dengan memudahkan pelaksanaan ASEAN 2025 termasuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan Jepun.

Sementara itu, Dialog AJCT juga merupakan platform bagi negara-negara ahli ASEAN dan Jepun untuk berkongsi maklumat, amalan-amalan terbaik dan pengalaman dalam memerangi pengganasan di rantau Asia Tenggara serta meningkatkan kerjasama antara negara-negara ahli ASEAN dan Jepun khususnya dalam kalangan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

SETIAUSAHA Tetap (Keselamatan dan Penguatkuasaan) di Jabatan Perdana Menteri, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali bin Pengiran Haji Yakob bergambar ramai bersama delegasi dari negara-negara ASEAN, Jepun dan Sekretariat ASEAN semasa Dialog ASEAN-Japan Counter Terrorism (AJCT) ke-11, yang bermula kelmarin di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong. – Gambar oleh JPM
Dialog ASEAN-Japan Counter Terrorism (AJCT) ke-11 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.