Dialog beriga DBNS 2020-2035

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Tekanan daripada ibu bapa dan akademik untuk mencapai kecemerlangan selain bebanan kerja sekolah dan masalah buli di sekolah adalah antara cabaran yang dibangkitkan oleh golongan belia tanah air semasa sesi dialog secara maya anjuran Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) Youth Advisory Group (YAG) dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, golongan belia yang terdiri daripada lebih 300 penuntut sekolah menengah dan pusat tingkatan enam (PTE) dari keempat-empat daerah itu turut disertai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengerusi DBNS YAG, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang dipertua MBB.

Semasa berucap pada sesi penutup dialog berkenaan, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa telah menekankan bahawa sebagai generasi pemimpin masa depan, belia hendaklah tidak malu untuk mengutarakan cabaran yang dihadapi dan untuk mengemukakan cadangan bagi membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Kenyataan menyatakan, sesi dialog berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan DBNS 2020-2035 kepada para belia, sekali gus sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran
mengenai program dan inisiatif belia, serta mendapatkan input daripada golongan belia untuk mencapai matlamat pembangunan nasional.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bersama lebih 300 orang belia tanah air semasa sesi dialog secara maya yang dianjurkan oleh DBNS Youth Advisory Group dengan kerjasama Majlis Belia Brunei, baru-baru ini.

Turut hadir menyertai sesi dialog berkenaan ialah Dr Mohammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi memberi pengenalan mengenai DBNS 2020-2035.

Selain itu, beberapa wakil dari sektor kerajaan dan badan bukan kerajaan juga dijemput untuk menyampaikan taklimat termasuk wakil Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah bagi menyampaikan taklimat tentang kepentingan mengutamakan kesihatan mental dan wakil dari BruCERT, Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob pula telah membincangkan tentang The Do’s and Don’ts of Social Media.

Sementara itu, Dayang Nurul Izyan binti Anver selaku wakil MBB telah mengongsikan mengenai faedah kesukarelawanan.

Antara cabaran lain yang dibangkitkan ialah masalah kecelaruan keresahan, masalah keluarga di rumah dan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi atau perlu dinaik taraf.

Di samping itu, para peserta juga berpeluang mengemukakan pelbagai cadangan.

Sesi dialog berkenaan merupakan yang ke-14 dikendalikan oleh YAG untuk mengumpul input dan maklum balas daripada belia bagi kerjasama seluruh negara.