Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Dialog rumus idea tangani cabaran pandemik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seramai 72 belia dari negara anggota ASEAN dan Republik Korea (ROK) telah menyertai Dialog Belia ASEAN kali pertama bertemakan ‘Belia dalam Era Revolusi Perindustrian Ke-4: Peluang dan Cabaran dalam Pemulihan Pasca Pandemik’ yang diadakan secara hibrid pada 25 dan 26 Julai di Siem Reap, Kemboja.

    Dialog berkenaan adalah bagi mendukung tahun 2022 sebagai Tahun Belia ASEAN yang diisytiharkan di bawah kepengerusian Kemboja, selaku pengerusi ASEAN 2022, dengan Tema ‘ASEAN A.C.T: Menangani Cabaran Bersama’.

    Dialog berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, di bawah rangka kerja Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan dengan sokongan kerajaan ROK.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad bersama menteri-menteri belia ASEAN dan perwakilan peringkat tertinggi yang lain telah menghadiri majlis perasmian dialog tersebut.

    Yang Berhormat Dato turut menghadiri sesi tertutup yang antara lain membincangkan Tahun Belia ASEAN.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri majlis perasmian dialog tersebut. – Gambar serahan KKBS

    Antara tujuan dialog berkenaan adalah untuk mewujudkan platform bagi para belia ASEAN dan ROK berinteraksi dengan menteri-menteri belia ASEAN dan pihak berkepentingan di peringkat tertinggi.

    Selain itu, dialog juga memberikan ruang kepada belia untuk merumuskan idea dan cadangan dasar untuk meningkatkan kesi-agaan belia ASEAN dan ROK dalam Revolusi Industri Keempat dan menangani cabaran pandemik global.

    Kenyataan menyatakan, peserta belia telah membincangkan idea dan cadangan bagi lapan bidang tematik iaitu Tadbir Urus; Sains, Teknologi dan Inovasi; Masa Depan Kerja, Infrastruktur dan Connectivity; Pertumbuhan Inklusif dan Mampan; Pergerakan Perubahan Iklim; Mengurangkan Jurang Pembangunan di kalangan negara anggota ASEAN dan program-program pertukaran.

    Delegasi juga belajar antara satu sama lain dengan mengambil manfaat daripada peluang-peluang teknologi, ekonomi dan sosial bagi mengukuhkan kerjasama antara ASEAN dan ROK.

    Selain menghadiri dialog, Yang Berhormat Dato juga telah mengadakan perjumpaan antaranya dengan Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr Hang Chuon Naron; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua bagi Undang-undang Singapura, Tuan Yang Terutama Edwin Tong; Setiausaha Jawatankuasa Pusat Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh, dan Naib Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kebangsaan Belia Vietnam, Nguyen Tuong Lam.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...