Dialog sentuh perkembangan dalam sektor tenaga

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Para peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) dan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Peringkat Pertengahan (EDPMMO) berpeluang untuk mendapatkan pandangan lebih mendalam mengenai rancangan dan projek-projek yang sedang dijalankan negara yang menyumbang kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam pada Sesi Dialog bersama Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, baru-baru ini.

Sesi dialog berkenaan berlangsung di Bangunan Rekaan & Teknologi, Anggerek Desa, di mana Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny memberikan gambaran keseluruhan mengenai sektor tenaga di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB), di sini, sesi dialog berkenaan dihasratkan untuk memberikan para peserta program pemahaman yang lebih baik mengenai peranan Kementerian Tenaga dari segi sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi, menyediakan pekerjaan serta perancangan masa hadapan untuk memperbaiki lagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Brunei.

Dengan perancangan masa hadapan Brunei dan peluang-peluang limpahan, Yang Berhormat Dato turut berkongsi inisiatif-inisiatif yang diambil oleh kementeriannya yang bermatlamat untuk menangani isu-isu pengangguran di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan di sektor tenaga.

Sesi dialog itu dihadiri oleh seramai 24 orang pegawai kerajaan bagi EDPSGO dan 25 orang pegawai kerajaan bagi EDPMMO.

Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir semasa sesi dialog berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dan Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Sesi dialog itu merupakan sebahagian daripada EDPSGO ke-28 dan EDPMMO ke-29 yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kolaborasi bersama UTB yang bermula secara rasmi pada 18 Ogos lalu.

Yang Berhormat Menteri Tenaga bergambar ramai bersama para peserta EDPSGO dan EDPMMO pada majlis itu. – Gambar serahan UTB