Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Dialog tinjau langkah percepat capai SDG

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Hanya tinggal tujuh tahun sahaja lagi untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan ketua-ketua negara akan berkumpul dalam Sidang Kemuncak SDG pada September 2023 bagi meninjau langkah-langkah strategik ke arah mempercepatkan agenda pembangunan SDG.

    Ke arah itu, ASEAN mempunyai peranan penting dalam perbincangan peringkat tertinggi dan berpeluang untuk mempamerkan pencapaian dalam Visi Komuniti ASEAN 2025 yang melengkapkan SDG.

    ASEAN juga berpeluang untuk menyampaikan hasrat tindakan bersepadu bagi rantau ini.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDG bagi Negara Brunei Darussalam, semasa menyampaikan kenyataan Negara Brunei Darussalam bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Dialog Menteri-menteri ASEAN mengenai usaha mempercepatkan tindakan untuk mencapai SDG (AMDSDG) ke-2 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM, di sini, Pengiran Hajah Siti Nirmala menekankan mengenai tindakan yang boleh diteroka dengan cepat dan mudah oleh ASEAN bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan ke arah mencapai 17 matlamat SDG.

    Pengiran Hajah Siti Nirmala bergambar ramai bersama menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN. – Gambar serahan JPM

    Dalam perkara itu, semua tindakan berkaitan SDG di bawah Visi Komuniti ASEAN 2025 perlu disejajarkan untuk membantu dalam memahami jurang yang perlu diatasi.

    Dengan persefahaman yang lebih menyeluruh, ASEAN akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menggerakkan sumber dengan lebih cekap dan berkesan.

    Landasan atau mekanisme kerjasama dengan rakan dialog ASEAN dan entiti bukan kerajaan ASEAN juga disentuh.

    Perkara itu adalah bersandarkan kepada pengalaman dan pencapaian kebangsaan melalui kerjasama pelbagai rakan kongsi SDG termasuk belia yang berusaha sama dalam memperkukuh kemajuan dalam mencapai SDG, memupuk perkongsian yang kukuh serta inklusif seperti mana yang diperlukan dalam usaha pembangunan mampan.

    Ke arah itu, ASEAN perlu meneroka cara untuk mendukung dan melengkapi usaha pihak berkepentingan dalam memantau dan menilai kemajuan SDG, berkongsi amalan terbaik untuk meneroka potensi kerjasama serantau serta meneroka potensi pembiayaan pembangunan mampan.

    Ini akan menjadi pemacu penting bagi menjana lebih banyak kemajuan dalam merealisasikan SDG.

    Dalam pada itu, ASEAN perlu meningkatkan kesedaran dan jangkaan terhadap cabaran baharu dan yang akan muncul. Ini akan membantu menangani perubahan yang tidak dapat diramalkan, mengurus ancaman dan mengambil peluang bagi mengoptimumkan peralihan kepada pembangunan mampan.

    Secara keseluruhannya, lebih banyak usaha diperlukan untuk menerapkan pemikiran masa depan dan berpandangan jauh untuk menangani cabaran global yang mendesak dalam dekad akan datang.

    Dialog berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Thailand, Tuan Yang Terutama Anucha Nakasai dan Setiausaha Autoriti Ekonomi dan Pembangunan Kebangsaan, Republik Filipina, Arsenio M Balisacan, diikuti dengan ucapan daripada Ketua Setiausaha ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

    Turut menghadiri dialog berkenaan ialah menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN dengan dialog itu telah mempertimbangkan Terma Rujukan AMDSDG dan juga kenyataan bersama yang menggariskan hasil dialog berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...