Pelakon Indonesia, Dian Sastrowardoyo menarik perhatian ramai apabila menjadi pensyarah jemputan di Universiti Indonesia (UI).
Dian, 40, mengajar di kelas vokasional UI dan berkongsi ilmu tentang perfileman serta lakonan dengan penuntut universiti berkenaan.
“Hari ini saya mengajar bagi membincangkan tentang struktur filem, matlamat jangka panjang dalam sebuah karakter, bahasa visual dan mise en scene,” tulisnya di Instagram.
Aktres ini memuat naik video dan foto ketika sedang mengajar di akaun media sosial miliknya.
Dalam pada itu, Dian turut berpesan kepada pelajarnya untuk melakukan tugasan dengan baik dan mengakui dia seorang yang tidak kedekut memberi markah asalkan dapat membuatnya kagum.
“Buat pelajar-pelajar saya, selesaikan tugasan kamu dengan penuh semangat.
“Saya tahu kamu semua jauh lebih bijak dan kreatif daripada yang kamu sangkakan.
“Saya tidak kedekut untuk memberi markah, tetapi kamu perlu yakinkan saya. Jadi, kagumkan saya dengan tugasan kamu,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet bertanyakan bagaimana agaknya perasaan apabila diajar oleh aktres wanita popular Indonesia ini.
“Macam mana agaknya belajar dan mendengar ceramah daripada Dian Sastro secara berhadapan ya?
“Guys, macam mana rasanya apabila diajar oleh Dian Sastro?
“Kalau pensyarahnya Dian Sastro, sudah tentu pelajar jadi lebih bersemangat,” tulis warganet.
Dian merupakan pelajar lulusan Universiti Indonesia dan alumni Ilmu Falsafah, Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya pada Julai 2007. – Agensi