Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Diana Danielle bekerjasama dengan Calum Scott

    Tampil bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa, Calum Scott menerusi lagu Heaven, penyanyi dan pelakon Diana Danielle memberitahu single berkenaan mempunyai kaitan dengan perjalanan hidupnya.

    Diana, 31, berkata lagu tersebut mempunyai maksud yang sangat mendalam hingga membuatkan dia mengalirkan air mata kerana teringatkan anak perempuannya iaitu Nur Aurora.

    “Saya akan ulang lagu ini berkali-kali dan menangis kerana teringat akan anak perempuan saya. Anak perempuan saya merupakan syurga dunia bagi saya.

    “Bait-bait lirik yang terdapat dalam lagu ini dapat mengaitkan memori terhadap anak perempuan saya.

    “Lagu ini juga menunjukkan bahawa kita semua berkongsi langit yang sama walau apa jua yang kita lakukan dalam hidup ini,” katanya kepada mStar.

    Diana Danielle tampil bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa, Calum Scott menerusi lagu Heaven. – Agensi

    Isteri kepada pelakon Farid Kamil ini berkata demikian ketika ditemui semasa pelancaran lagu itu yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

    Penyanyi Britain itu memberikan nafas baharu pada lagunya apabila bekerjasama dengan beberapa orang artis berbakat dari Asia Tenggara.

    Antara pemuzik yang bekerjasama dengan Calum ialah Darren Espanto dari Filipina, Diana Danielle dari Malaysia, Hoang Duyen dari Vietnam, dan Lyodra dari Indonesia.

    Mereka tampil memberikan sentuhan berbeza pada lagu Heaven, namun tetap mengetengahkan inti pati dan maksud karya berkenaan.

    Untuk versi kolaborasi bersama Diana Danielle, ia bakal dilancarkan pada Khamis ini.

    Berkongsi mengenai kolaborasi sulung ini, Diana berkata ia bermula dengan suka-suka apabila dia memuat naik video duet bersama Calum menerusi aplikasi TikTok.

    “Peluang ini bagai bulan jatuh ke riba dan saya berasa sangat beruntung menjadi sebahagian daripada projek ini. Saya merupakan peminat Calum sejak dari dahulu lagi dan tidak pernah menjangka perkara sebegini akan terjadi.

    “Pihak Calum menghubungi saya dan memaklumkan untuk mengadakan kolaborasi ini atas permintaan peminat. Jadi saya tidak ragu-ragu untuk menerima peluang keemasan ini,” ujarnya lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...