Nor Diana tersenarai Forbes ‘30 under 30 Asia’

SINGAPURA, 3 APRIL – Nor ‘Phoenix’ Diana, ahli gusti profesional Malaysia yang berhijab  telah disenaraikan dalam Forbes ‘30 Under 30 Asia’ tahunan kelima.

Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia, kesemuanya berumur bawah 30 tahun.

Forbes 30 Under 30 Asia Kelas 2020 menyenaraikan pemimpin cemerlang dan inovatif dengan 30 individu dipilih bagi setiap daripada 10 kategori. Nor Diana, 20, wanita pertama memenangi kejohanan Gusti Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) Julai lepas, terpilih di bawah kategori Sukan dan Hiburan.

Kategori lain termasuk Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit & E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna.

“Pada tahun ini, yang disenarai sebagai 30 Under 30 Asia Forbes adalah mereka yang menginspirasikan keyakinan bagi menghadapi tahun yang mencabar ini,” kata Editor Forbes 30 Under 30 Asia, Rana Wehbe dalam satu kenyataan hari ini.

Wehbe mengambil perhatian bahawa wanita muda terutamanya berumur bawah 21 tahun menyerlah dalam senarai 2020 tersebut, seperti ahli gusti berhijab warga Malaysia sehingga pelawak wanita pertama Bangladesh dan usahawan sosial yang membantu para petani di Filipina untuk memperbaiki hidup mereka.

Antara yang tersenarai pada tahun ini termasuk kumpulan muzik K-pop wanita Twice dan pelakon wanita Park So-dam, dari Korea Selatan, dikenali menerusi filem Parasite, yang telah memenangi anugerah Oscar. – Bernama

Nor Diana, ahli gusti profesional Malaysia yang berhijab  telah disenaraikan dalam Forbes ‘30 Under 30 Asia’ tahunan kelima baru-baru ini. – Agensi