Diasingkan ikut SOP

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa pesakit dikatakan pelawat dari China dan tular dalam media sosial, telah datang mendapatkan pemeriksaan di Hospital RIPAS dan dihantar ke Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk pemeriksaan lanjut sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga.

Pada masa ini, pesakit tersebut berada dalam keadaan stabil dan Kementerian Kesihatan kini dalam proses untuk mengenal pasti jika pesakit tersebut ada sebarang kaitan dengan virus 2019-nCoV dari Wuhan, China.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan penyebaran gambar dan beberapa maklumat yang tular melalui aplikasi media sosial WhatsApp dan Facebook mengenai pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di Hospital RIPAS dan disyaki menghidapi jangkitan H1N1 atau Koronavirus.

Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa penyebaran maklumat tersebut adalah tidak tepat dan telah disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana mengikut standard operating procedure (SOP) yang ada pada masa ini, sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza seperti demam panas, batuk dan sesak nafas, khususnya mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China, akan dibawa ke Hospital RIPAS untuk pemeriksaan lanjut.

Ini adalah juga prosedur rutin yang dilakukan bagi mana-mana penumpang yang sakit semasa tiba di Negara Brunei Darussalam.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan penularan gambar atau maklumat yang tersebar tersebut.

Kementerian juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya.

Dalam pada itu juga, orang ramai diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh kementerian.

Kementerian juga memaklumkan orang ramai bahawa sejak berita jangkitan virus 2019-nCoV diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 7 Januari 2020, ia telah meningkatkan langkah kewas-padaan dan kesiap-siagaan bagi mengawal kemasukan virus berkenaan ke negara Negara Brunei Darussalam.

Antara langkah-langkah yang diambil ialah memperkenalkan semula penggunaan pemeriksaan suhu badan bagi penumpang-penumpang yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, khususnya dari bandar raya di China, bermula 21 Januari lalu, peningkatan perlaksanaan SOP di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan, dan pemantauan berterusan serta penilaian risiko keadaan jangkitan tersebut di seluruh
dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.