Diberkas keluarkan sijil palsu bebas COVID-19

DHAKA, 16 JULAI – Seorang pemilik hospital yang dituduh mengeluarkan ribuan keputusan ujian palsu COVID-19 kepada pesakit di dua klinik ditahan semalam ketika cuba melarikan diri ke India dengan memakai purdah, kata polis.

Penahanan itu menamatkan operasi memburu Pengerusi Hospital Regent, Mohammad Shahed selama sembilan hari, atas tuduhan memberi sijil palsu kepada pesakit mendakwa mereka bebas COVID-19 tanpa menjalankan sebarang ujian.

Shahed, 42, adalah antara puluhan individu yang ditahan pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu susulan pembabitan dalam penipuan berkenaan.

Pakar memberi amaran bahawa pengeluaran dokumen palsu itu memburukkan lagi keadaan di negara dengan 168 juta penduduk itu, apabila mencetuskan keraguan terhadap ketulenan sijil yang diberi klinik.

Jurucakap Batalion Tindakan Pantas (RAB), Kolonel Ashique Billah, berkata suspek ditahan di tebing sebatang sungai ketika cuba melarikan diri ke India dan memakai purdah untuk mengelak daripada dikenali.

Mohammad Shahed (kanan) ketika ditahan kerana mengeluarkan keputusan ujian palsu COVID-19 kepada pesakit di Dhaka, kelmarin. – AFP

“Hospital miliknya menjalan-kan 10,500 ujian COVID-19, dengan 4,200 adalah tulen manakala selebihnya diberi tanpa melakukan sebarang ujian,” katanya.

Shahed turut dituduh mengenakan bayaran bagi sijil dan rawatan, walaupun mencapai persetujuan dengan kerajaan bahawa segala urusan akan diberi secara percuma.

Seorang doktor ternama dan suaminya turut ditahan dan dituduh mengeluarkan sijil ujian palsu dari makmal mereka di Dhaka.

Minggu lalu, Itali menggantung semua penerbangan dari Bangladesh ke Rom berikutan beberapa penumpang Bangladesh disahkan positif COVID-19, walaupun memiliki sijil bebas jangkitan virus itu dari Bangladesh.

Isu itu dikhuatiri menjejaskan peluang pekerja dari Bangladesh merantau mencari pekerjaan di negara lain, sekali gus melumpuhkan ekonomi yang banyak bergantung kepada punca pendapatan itu.

Hampir RM81 bilion dihantar pulang oleh kira-kira 12 juta pekerja asing warga Bangladesh di serata dunia, menurut data bank pusat. – AFP