Dicekup cuba seludup dadah dalam mi segera

BANGKOK, 4 FEB – Dua orang lelaki Taiwan yang cuba menyeludup 15kg heroin dalam bungkusan mi segera melalui sebuah lapangan terbang Bangkok, ditangkap baru-baru ini, kata polis Thai, di sebuah negara yang menjadi laluan utama dadah serantau.

Polis menemui heroin tersebut dalam paket mi Mama – satu jenama mi Thailand yang sentiasa ada di seluruh Asia – dan juga beberapa tin bedak ruam panas.

Kedua-duanya cuba pulang ke Taiwan apabila mereka ditangkap pada 30 Januari lalu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi selepas maklumat daripada orang awam, kata polis hari ini, tanpa menjelaskan dari mana mereka memperolehi heroin itu. – AFP