Didakwa cuba kaut untung kes pemerdagangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Pendakwa raya pada 11 Jun lalu telah menghadapkan pertuduhan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun, Wan Nasyran bin Haji Osman atas kesalahan mengaut keuntungan daripada pengeksploitasian dua orang pekerja Bangladesh.

Timbalan Pendakwa-pendakwa Raya Hajah Rozaimah Haji Abdul Rahman dan Nor’adliatul Hidayah Haji Mohd Zaidi hadir di Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Wan Nasyran telah didakwa dengan satu pertuduhan di bawah Bab 6 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 dan dua pertuduhan di bawah Bab 7 Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230.

Memandangkan kesalahan mengaut keuntungan daripada pengeksploitasian orang yang diperdagangkan itu berlaku antara bulan April 2019 dan Januari 2021, maka pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu tertakluk di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang.

Sementara itu, seorang lelaki warga Bangladesh, Khairul Bashar telah didakwa berhubung kes ini pada 29 Mac 2022 dengan dua pertuduhan di bawah bab 4 Perintah Pemedagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan manusia.

Kemudian, pada 11 April 2022, pendakwa raya telah menghadapkan empat pertuduhan tambahan ke atas Khairul Bashar bagi kesalahan yang sama.

Atas permohonan yang dibuat oleh pendakwa raya kelmarin, Mahkamah Tinggi telah menggabungkan kedua-dua kes jenayah terhadap kedua-dua defendan, Khairul Bashar dan Wan Nasyran.

Susulan pengakuan mereka yang tidak bersalah, Mahkamah Tinggi telah menetapkan kes itu untuk dibicarakan pada Februari 2023 depan.

Jika didapati bersalah, kedua-dua defendan boleh dikenakan denda tidak melebihi satu juta, penjara maksimum 30 tahun dan sebat.