Desas-desus mengenai status penyanyi Syafiq Farhain yang didakwa sudah berkahwin nampaknya semakin hangat diperkatakan warganet.
Bagaimanapun, Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim, 28, ketika dihubungi mStar lebih selesa mengunci mulut.
“Saya malaslah ingin jawab tentang hal ini,” komennya ringkas ketika dihubungi mStar.
Menurut Syafiq, dia belum bersedia untuk berkongsi sebarang cerita tentang kisah peribadinya.
Malah katanya cukuplah orang yang rapat sahaja tahu status sebenar dirinya.
“Rasanya saya belum bersedia untuk kongsi sebarang cerita peribadi.
“Tetapi kepada sesiapa yang tahu saya tidak pernah sorok. Cukuplah yang mana tahu sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Syafiq memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani tempoh kuarantin selepas disahkan positif COVID kali kedua pada 1 Mac lalu.
Dia tidak mengalami sebarang simptom teruk berbanding jangkitan pertama setahun lalu.
“Saya hanya batuk dan selsema sahaja. Tidak ada simptom teruk berbanding kali pertama terkena COVID sebelum ini.
“Sekarang sudah mula bekerja seperti biasa. Bagaimanapun ada sedikit rasa bimbang kerana tempoh kuarantin hanya seminggu.
“Saya takut menjangkiti orang lain,” katanya. – Agensi