Didakwa lakukan perbuatan pengganas

SEPANG, 17 DIS – Dua rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan Daesh dan kembali ke tanah air bulan lepas setelah diusir dari Syria dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana ke luar negara dengan niat melakukan perbuatan pengganas.

Kedua-dua mereka Ahmad Naim Zaid, 34 dan Mohd Azmer Ramlan, 40 dituduh di dua Mahkamah Sesyen yang berasingan di hadapan dua orang hakim yang berbeza selang 15 minit.

Ahmad Naim dituduh dengan niat dari Malaysia telah pergi ke Syria bagi melakukan perbuatan pengganas pada 11 Mac 2015 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di hadapan hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Tengku Shahrizam kemudiannya menetapkan 20 Januari 2020 sebagai tarikh sebutan bagi menantikan laporan dari Jabatan Imigresen Malaysia, syarikat penerbangan dan penyata perbankan tertuduh.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, Mohd Azmer dituduh melakukan perbuatan yang sama di tempat yang sama pada 3 Julai 2014 di hadapan hakim Saifulakmal Mohd Said. Sebutan bagi kes tersebut ditetapkan pada 10 Januari 2020 bagi menantikan laporan yang sama. Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Low Qin Hui.

Mohd Azmer Ramlan, 40, (tengah) dan Ahmad Naim Zaid, 34, (dua, kiri) yang menganggotai kumpulan Daesh dan kembali ke tanah air bulan lepas setelah diusir dari Syria dituduh di Mahkamah Sesyen, Sepang kelmarin kerana ke luar negara dengan niat melakukan perbuatan pengganas. – Bernama

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dari kedua-duanya yang kelihatan tenang ketika berdiri dalam kandang tertuduh.

Kedua-dua mereka menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Saifulakmal turut menolak permohonan jamin oleh peguam Mohd Azmer, Hamdan Hamzah. Ketika mengemukakan permohonan jamin tersebut Hamdan turut membacakan surat yang ditulis oleh anak guamnya kepada bapanya di Malaysia pada awal tahun ini melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) ketika dalam tahanan di Syria.

Dalam surat itu, Mohd Azmer menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia selain memberitahu bahawa dia sudah berkahwin dengan wanita Kurdish dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan. Isteri dan anaknya kini berada di kem pelarian Syria.

Difahamkan kedua-dua mereka ditangkap sejurus tiba di KLIA pada 22 November oleh Bahagian Pencegahan Jenayah, Cawangan Khas Bukit Aman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-langkah Khas (SOSMA) 2012. – Bernama