Didakwa serang guna senjata

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Seorang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan menyerang teman wanitanya dengan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Mohamad Aliana bin Ibrahim, 42, yang berdepan dakwaan menyerang teman wanitanya yang berusia 31 tahun menggunakan batang paip besi di Kampung Mumong sekitar Mei dan Jun lalu.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menangguhkan kes sehingga 18 Jun sementara siasatan dijalankan dan defendan ditahan reman.

Dakwaan, di mana batang paip besi dikategorikan sebagai senjata membawa maut, ke atas defendan membawa hukuman penjara selama tujuh tahun berserta sebatan.