Didakwa tidak dapat jelaskan kekayaan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Seorang pegawai Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki harta yang tidak setimpal dengan pendapatannya, yang tidak dapat dijelaskan.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Ibrahim bin Abdul Gani di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh ketika disoal siasat Biro Mencegah Rasuah (BMR)
menjelaskan bahawa sumber utama pendapatannya adalah daripada gaji dan bonus tahunannya. Sumber lain adalah daripada perniagaan sampingannya menjual korset, pembayaran premium insurans dan kepentingan bank.

Tertuduh mendakwa bahawa dia juga memperolehi harta itu daripada loteri yang dimenanginya sekitar 2008 atau 2009 dan juga daripada pelaburan haram dengan sebuah syarikat iaitu DINA.

Syarikat tersebut telah pun didakwa di mahkamah pada 2010, yang membawa kepada penutupannya.

BMR selepas membuat siasatan kiraan mendapati pendapatan tertuduh tidak sepadan dengan harta yang dimilikinya, beritahu pihak pendakwa kepada mahkamah.

Tertuduh juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk loteri yang dimenanginya dan juga pelaburan dengan syarikat itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diberi ikat jamin $10,000 atau seorang penjamin tempatan dan turut memberi tertuduh tempoh untuk mendapatkan khidmat guaman.

Tertuduh bakal berdepan hukuman denda $30,000 atau tujuh tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Kes akan disebut lagi pada 16 Disember 2019.