Diddy AF buru gelaran PhD di Scotland

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang diasah bakat menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Diddy Hirdy akan menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik di University of Glasgow, Scotland.

Pengajian Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdi Muhid di Scotland ditemani oleh isteri dan anaknya.

“Dua tahun lalu, saya pernah melanjutkan pengajian dalam bidang sama pada peringkat sarjana di University of Liverpool, United Kingdom (UK). Alhamdulillah, hasrat untuk menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi berjaya direalisasikan apabila saya mendapat tajaan Universiti Utara Malaysia (UUM). Saya yang bertugas sebagai tutor di UUM terpaksa mengambil cuti dan hanya akan kembali menyambung tugas apabila tamat pengajian tiga tahun nanti,” katanya .

Menurut Diddy, minatnya terhadap muzik tidak akan pupus, malah mahu terus menimba ilmu sebagai bekalan masa depan.

Pengajian Diddy di Scotland ditemani oleh isteri dan anaknya.
Pengajian Diddy di Scotland ditemani oleh isteri dan anaknya.

“Bukan bermakna menceburi dunia nyanyian itu tidak menjamin masa depan, cuma saya percaya ilmu juga penting sebagai sandaran.

“Landskap industri muzik kita semakin mencabar dan dalam situasi yang tidak menentu, saya perlu memikirkan strategi untuk terus bertahan.

“Saya memilih akademik sebagai jalan untuk meneruskan pembangunan kerjaya selepas 10 tahun bergiat sebagai anak seni,” katanya.