Didenda $1,500 ambil dadah terkawal kelas A

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman denda $1,500 ke atas seorang lelaki warga tempatan setelah didapati bersalah mengambil dadah terkawal kelas A iaitu Methylamphetamine.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid ke atas Mohd Sumadi bin Awang Umar yang berdepan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pegawai Pendakwa Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dayang Normahirah binti Rosli dalam fakta kes menyebut, tertuduh yang juga merupakan seorang penganggur telah ditahan oleh pegawai BKN di sebuah kediaman di Kampung Masin pada pukul 8:20 pagi, 10 Ogos 2017
Walau bagaimanapun pemeriksaan badan yang dijalankan ke atas tertuduh ketika itu tidak menemukan sebarang peralatan berkaitan dadah yang mana tertuduh kemudiannya dibawa ke BKN untuk siasatan lanjut.

Pada hari yang sama, kira-kira pukul 11:49 pagi, tertuduh telah memberikan sampel air kencing kepada BKN sebagai sebahagian daripada siasatan yang mana hasilnya didapati positif bagi dadah Methylamphetamine.