Didenda $2,000 langgar perintah sijil halal

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan pemilik sebuah restoran tempatan untuk membayar denda sebanyak $2,000 atau menjalani hukuman penjara selama sebulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan melanggar Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005.

DPP Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mendedahkan di mahkamah bahawa restoran Ismahan menyimpan barang makanan halal yang tidak diperakui, tiga setengah bungkus sayap ayam Rose Brand seberat tiga kilogram di premis restoran berkenaan pada 18 Oktober 2016 ketika pegawai penguat kuasa dari Bahagian Kawalan Makanan Halal melakukan pemeriksaan rutin. Kes berkenaan didengarkan oleh Majistret Kanan Azrimah binti Abdul Rahman.