Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mengeluarkan kompaun $300 ke atas seorang individu kerana membuang sampah di tempat awam di kawasan jalan masuk Pantai Meragang, kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan JASTRe hari ini, individu berkenaan yang dikenal pasti sebagai Alim Hossain dikenakan kompaun atas kesalahan Bab 12 (1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30.
Lelaki berkenaan diberi tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskannya dan jika gagal boleh didakwa di mahkamah di mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, JASTRe mengingatkan orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sikap ber-tanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.