Didenda $3,000 curi barang farmasi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seorang wanita dijatuhi denda $3,000 setelah disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Bandar Seri Begawan, hari ini, atas pertuduhan dan kesalahan melakukan sariqah (curi).

Nurul Afiqah binti Norariffin, 26, disabit bersalah di bawah bab 55(3)(b) dari Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang setakat membawa hukuman Ta’zir.

Dalam kes tersebut, wanita terbabit telah didapati mengambil beberapa barang jualan di salah sebuah farmasi di Kuala Belait dan keluar dari kedai tanpa membuat pembayaran.

Perbuatan pesalah itu telah dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah mengingatkan bahawa perbuatan sariqah adalah kesalahan yang dipandang serius di sisi Hukum Syarak.

Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Syarie dari Bahagian Pendakwaan Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama.