Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Mahkamah Majistret menjatuhi denda $500 atau sebulan penjara terhadap seorang lelaki selepas mendapatinya bersalah memiliki 12 tin minuman keras yang disimpan di tempat yang tidak sepatutnya.
Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain terhadap Ang Eng Leong berusia 57 tahun.
Defendan diberkas pegawai pencegah kastam di kawasan letak kereta tingkat bawah sebuah hotel pada 26 November 2009 pada jam 4:20 petang, hasil maklumat daripada orang ramai.
Mahkamah mendapatinya bersalah kerana memiliki minuman keras itu di kawasan letak kereta dan bukannya di kediamannya seperti termaktub dalam syarat-syarat borang pengisytiharan.
Syarat-syarat pada borang pengisytiharan yang dikemukakan defendan kepada pegawai pencegah kastam ketika itu, antara lain mengandungi ‘minuman keras itu perlu disimpan dan diminum di kediaman defendan sahaja’.
Defendan memberitahu mahkamah yang dia boleh minum 12 tin minuman keras itu dalam satu hari.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dr. Mohammad Hussin Ali bin Idris.