Didenda £6,400 ingkari sekatan

LONDON, 22 JAN – Polis di England akan mengeluarkan denda lebih tinggi kepada mereka yang melanggar langkah sekatan koronavirus apabila berparti, dengan denda sehingga £6,400 (AS$8,775) dikenakan, kata menteri dalam negeri Priti Patel semalam.

Denda baharu itu, yang bakal berkuat kuasa minggu depan, menyasarkan mereka yang menghadiri parti dalam rumah dan perhimpunan lain yang diharamkan, dengan penalti bertambah dua kali ganda untuk setiap kesalahan.

Mereka yang ditangkap di parti dengan lebih 15 orang akan berdepan denda £800 untuk kesalahan pertama, dan seterusnya berdepan denda maksimum £6,400 untuk pencabulan seterusnya.

“Hakikatnya adalah jelas: tingkah laku yang tidak bertanggungjawab sedemikian menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam,” kata Patel pada sidang media Downing Street. “Kami tidak akan berdiam diri sementara sebilangan kecil golongan menimbulkan ancaman kepada orang lain.”

Denda yang dikenakan sekarang berjumlah £200, dengan polis hanya boleh menyasarkan penganjur acara yang terdiri daripada 30 orang atau lebih dengan penalti tertinggi berjumlah £10,000.

Polis Metropolitan London berkata awal minggu ini ia telah mengeluarkan lebih 140 denda berjumlah £39,000 dalam tempoh dua hari. – AFP

Penduduk berjalan di jambatan Millenium di tengah London tatkala Britain berdepan sekatan ketiga pada 22 Januari 2021. – AFP