Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Sebuah entiti perniagaan tempatan di Berakas telah dikenakan denda kompaun sebanyak $700 kerana mengendalikan beberapa alat walkie-talkie pelbagai jalur frekuensi tanpa Lesen Operasi (OL) yang sah oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, satu notis amaran juga telah dikeluarkan kerana melanggar Seksyen 9, Perintah Telekomunikasi 2001, di mana alat walkie-talkie pelbagai jalur yang digunakan adalah jenis yang tidak dibenarkan untuk di-
kendalikan di dalam Negara Brunei Darussalam.
AITI menyatakan bahawa kesalahan-kesalahan berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 35(1) Perintah Telekomunikasi, 2001 dan jika sesiapa yang didapati bersalah bagi pelanggaran berkenaan, boleh dikeluarkan denda kompaun sehingga $1,000 bagi setiap kesalahan.
Orang ramai diingatkan bahawa perkhidmatan atau sistem yang tidak berlesen boleh menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan mustahak dan infrastruktur kritikal, yang boleh mengganggu operasi hari-ke-hari agensi-agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan tempatan, institusi pendidikan dan pernia-gaan yang bergantung pada telekomunikasi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran AITI terlebih dahulu sebelum memasang mana-mana sistem telekomunikasi, menyediakan sebarang perkhidmatan telekomunikasi atau mengendalikan mana-mana peralatan komunikasi radio atau telekomunikasi.
Perniagaan dan individu diperlukan untuk mendapatkan lesen relevan bagi menubuhkan, memasang, menyelenggarakan, memperuntukkan atau mengendalikan mana-mana perkhidmatan atau sistem komunikasi-radio atau telekomunikasi melalui portal perkhidmatan atas talian AITI, https://online.aiti.gov.bn. Orang ramai juga boleh membantu AITI dalam usahanya untuk membendung sebarang aktiviti tidak berlesen dengan menghantar e-mel kepada info@aiti.gov.bn.