Didenda $75,000 miliki 75 karton rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Seorang lelaki warga Korea dihukum denda $75,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki 75 karton rokok tanpa cukai.

Hukuman terhadap Park Seungkyun, 50, dijatuhkan oleh Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin yang turut memberinya tempoh enam bulan untuk membayar denda dan jika gagal berdepan hukuman 17 bulan penjara.

Tertuduh yang bekerja sebagai jurupandu pelancong bagi sebuah agensi pelancongan di Sabah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu namun menukar pengakuannya kepada ‘bersalah’ hari ini.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan pegawai kastam di Pos Kawalan Labu pada 27 Ogos 2018, kira-kira jam 4:13 petang dan hasil pemeriksaan menemukan karton-karton rokok pada bahagian tayar simpanan.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang karton rokok itu dibeli di Limbang untuk dirinya dan juga rakan-rakannya pada harga RM$2,695 sementara duti eksais yang seharusnya dibayar untuk membawa masuk rokok berkenaan ialah $7,500.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.