Didenda $800 rosakkan pintu

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Seorang lelaki yang melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada pintu rumah dalam kejadian pada 2016, dijatuhi denda $800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman terhadap Chan Ban Chang diputuskan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman yang turut memerintahkan hukuman satu bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Peguam Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya meminta hukuman berbentuk ‘denda’ dijatuhi kepada anak guamnya atas alasan terdapat kelewatan tiga tahun membawa kes itu ke mahkamah.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana semasa menjatuhkan hukuman bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan namun mengecam tindakan tertuduh, yang mana tertuduh boleh menyelesaikan masalahnya dengan cara yang betul tambahan lagi tertuduh adalah seorang anggota polis ketika itu.

Dalam kejadian pada 14 Februari 2016, tertuduh naik berang apabila teman wanitanya tidak menjawab panggilan dan teks yang dikirimnya.

Tertuduh kemudian pergi ke flat teman wanitanya di Muara untuk berjumpa dengannya.

Selepas berjumpa dan berbincang mengenai beberapa perkara, teman wanitanya terus meninggalkannya di tangga bawah flat, dan mengunci dirinya di kediamannya.

Tertuduh sekali lagi naik berang dan pergi mendapatkan teman wanitanya namun pintu rumahnya dikunci.

Tertuduh terus menendang pintu berulang kali sehingga menyebabkan kerosakan.

Teman wanitanya kemudian mengalah dan membuka pintu rumahnya sebelum bersama-sama beredar meninggalkan flat tersebut.

Kerosakan pada pintu rumah itu disedari oleh suami kepada teman wanita tertuduh, yang telah memaklumkan kerosakan itu kepada pegawai atasannya.

Suami yang juga merupakan anggota beruniform kemudian membuat laporan polis. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat.