Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk menggantikan hukuman Perintah Percubaan kepada hukuman denda $250 atau berdepan hukuman seminggu penjara terhadap seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya.
Hukuman denda itu diputuskan Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid yang bersetuju dengan pihak pendakwaan, Sharon Yeo dan Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris bahawa hukuman Perintah Percubaan adalah tidak sesuai kerana kes ini lebih kepada kes saman, yang mana hukuman maksimum bagi pesalah pertama ialah denda $2,000.
Tawan Sinau berusia 44 tahun, bagaimanapun, membayar denda tersebut.
Pada Februari 2018, Tawan dikenakan hukuman Perintah Percubaan selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana gagal menghentikan keretanya apabila diarahkan oleh polis trafik yang mengiringi kenderaan diraja.
Semasa kejadian pada 16 November 2017, Tawan sedang memandu keretanya di Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Apabila kenderaan diraja turut melalui lebuh raya itu, Tawan gagal untuk menghentikan keretanya walaupun polis trafik yang mengiringi kenderaan diraja telah pun membunyikan siren dan menyalakan lampu biru untuk mengarahkan pengguna jalan menghentikan kereta di tepi.
Tawan hanya memperlahankan keretanya sebaik polis trafik yang kedua melepasinya namun masih tidak menghentikan kereta yang dipandunya meskipun telah diarahkan.
Dia hanya menghentikan keretanya selepas polis trafik yang ketiga melepasinya. Kejadian itu dilaporkan kepada polis pada hari yang sama.