Didenda hampir $150,000 miliki barang tegahan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seorang lelaki penduduk tetap berusia 55 tahun telah diperintahkan untuk membayar denda $148,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, setelah mengaku bersalah memiliki sejumlah besar minuman keras dan bir.

Ching Yu Fei berhadapan dengan hukuman penjara selama 22 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwa Raya Kastam Haji Mohamad Junaidi bin Haji Ahmad memaklumkan Pemangku Majistret Kanan Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim bahawa pegawai kastam telah melakukan serbuan ke rumah tertuduh di Jalan Raja Puteri, Seria pada 14 Jun lalu, kira-kira jam 3:15 petang.

Dalam serbuan tersebut sejumlah 288 botol minuman keras dan 6,672 tin bir telah ditemui di dalam dan luar rumah tersebut serta dalam bilik yang tidak berpenghuni di rumah sebelah.

Tertuduh memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah membeli minuman beralkohol tersebut daripada seorang lelaki di bandar melalui orang tengah yang kemudian menyerahkannya ke rumahnya.

Mahkamah turut memerintahkan agar minuman beralkohol tersebut dirampas untuk dimusnahkan.