Didenda kerana memandu dalam keadaan mabuk

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Seorang warga asing hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana dipercayai melakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Tertuduh, Ariel Tolentino Sabado, 42, ditahan semasa sekatan jalan raya dalam operasi sepadu dikendalikan bersama Polis Diraja Brunei (PDB) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) di Jalan Tutong pada 28 Januari lalu.

Beliau didakwa oleh Unit Pendakwaan Polis, PDB di bawah Seksyen 26 (1) (b) Akta Lalu lintas Penggal 68 iaitu memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh telah mengaku bersalah atas tuduhan tersebut berdasarkan bukti-bukti diperolehi dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $2,000 dan jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjarakan dua bulan.

Tertuduh telah dibebaskan dengan ikat jamin dan diberi tempoh sehingga 28 Mei bagi menjelaskan denda. Pihak mahkamah juga memerintahkan lesen tertuduh digantung selama tiga tahun bermula 12 Mei.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Inspektor Hayati binti Tassim dari Unit Pendakwaan Polis di hadapan Hakim Majistret Marzuqi bin Sabtu.