Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah diperintahkan untuk membayar denda berjumlah $1.473 juta kerana membantu penghantaran jumlah besar rokok seludup menggunakan bot dan melarikan diri daripada kuarantin.
Mohammad Norhakim bin Haji Kamis akan meringkuk dalam penjara selama 37 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu mendengarkan daripada Timbalan Pendakwa Raya Khalilah Hussin bahawa pegawai Polis Marin menjalankan operasi dan pemantauan di sekitar Sungai Riong pada pukul 6 petang 18 Oktober lalu bertindak selepas menerima maklumat mengenai dua bot yang dipercayai membawa barangan seludup.
Sejurus kemudian, pegawai-pegawai berkenaan mendengar bunyi enjin bot dari Sungai Menunggol berdekatan dan memasuki laluan lebih kecil sungai berkenaan di mana mereka menemui dua bot tanpa pemandu.
Mereka menggeledah kawasan sekitar dan berjaya menahan defendan yang bersembunyi dalam air. Pihak polis kemudian membawa defendan yang menunjukkan di mana dia menyembunyikan barangan seludup berkenaan dan pihak polis merampas 1,840 karton rokok.
Kes diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan semasa siasatan, defendan memberitahu bahawa rokok-rokok berkenaan adalah milik dua lelaki lain dan dia hanya membantu menurunkan dan mengangkat rokok-rokok berkenaan dari bot ke kawasan bakau bagi menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.
Defendan kemudian diperintahkan menjalani pengasingan diri mandatori dari 19 hingga 27 Oktober di Perkampungan Sukan, Berakas. Bagaimanapun, pada 20 Oktober, dia berjaya melarikan diri apabila dikejar oleh para pengawas yang melihatnya berjalan-jalan di luar dan bukan dalam biliknya.
Defendan berjaya menumpang kereta seorang wanita ke Kianggeh di mana dia kemudian menaiki bot ke rumahnya di Kampung Berambang. Dia kemudian pergi ke kebun di kampungnya, untuk bertemu teman wanitanya, di mana dia ditahan oleh anggota polis.
Defendan berkata, dia melarikan diri daripada kuarantin kerana bimbang mengenai keluarganya yang mungkin khuatir akan keberadaannya.