Didi Astillah berpeluh pakai pelitup muka

Tanggungjawab membawakan watak ketua mafia dalam drama Jamu Nesan bagi menggantikan penyanyi Zizi Kirana bukan sesuatu yang mudah buat penyanyi dan pelakon, Didi Astillah.

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah berkata, dia berdepan pelbagai cabaran antaranya terpaksa memakai pelitup muka sepanjang penggambaran yang berbaki 30 peratus itu.

Pelakon berusia 25 tahun ini juga memberitahu, dia perlu memakai rambut palsu bagi kelihatan sama seperti rambut Zizi Kirana.

“Nak bercakap pun susah… kena sebut perkataan itu dengan sangat jelas. Selain itu, saya dengan Zizi pun ada perbezaan rambut. Jadi bila ada babak yang kena lepaskan rambut, saya terpaksa pakai rambut palsu,” katanya.

Didi menggantikan Zizi selepas penyanyi lagu Eh itu didakwa melanggar kontrak dan gagal menyelesaikan baki penggambaran drama Jamu Nesan arahan penerbit Datuk Rafiena.

Dalam pada itu, adik kepada selebriti, Bella Astillah meluahkan rasa teruja apabila diberikan peluang untuk membawa watak yang berbeza daripada lakonannya sebelum ini.

Biarpun pada awalnya berdepan dengan pelbagai cabaran, namun pelakon drama siri Perisik Cinta Tak Diundang ini berkata dia mendapat bimbingan daripada Rafiena dalam membawa karakternya.

“Ini kali pertama saya membawa watak sebagai ketua mafia. Sebelum ini, saya hanya dapat watak yang selamat sahaja, watak seorang wanita yang lembut. Tapi kali ini memang berbeza sangat dan saya suka dengan watak itu.

“Sampai sekarang saya jadi terbawa-bawa watak itu ke rumah. Saya terikut cara bercakap dan cara duduk. Alhamdulillah, saya bersyukur diberi peluang untuk bawa watak ini,” ujarnya. – Agensi

Didi berdepan pelbagai cabaran antaranya terpaksa memakai pelitup muka sepanjang penggambaran yang berbaki 30 peratus itu. – Agensi