Didie Alias buat TikTok sebagai terapi?

Biarpun usianya menghampiri separuh abad, namun kelincahan pelakon dan pengacara Didie Alias yang aktif menari untuk menghiburkan peminat di aplikasi TikTok meraih perhatian ramai.

Didie yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-48 hari ini berkata, apa yang dilakukan itu adalah salah satu terapi untuk dirinya kekal aktif dan sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Saya memang seorang yang aktif. Kalau duduk diam saja saya akan rasa diri mudah jatuh sakit.

“Lagipun pergerakan yang dilakukan adalah salah satu senaman. Jangan fikir umur semakin meningkat kita akan melalui zaman tua saja, tapi kena juga pastikan diri sentiasa sihat. Saya rajin berlari atas threadmill, berbasikal dan mengamalkan supplemen kesihatan,” katanya.

Menurut Didie, dia juga sudah memaafkan mana-mana pihak seandainya ada yang melontarkan kata-kata tidak baik terhadap dirinya.

“Apa yang saya lakukan hanyalah satu hiburan untuk mereka yang tengah hadapi tekanan. Saya percaya ramai yang sedang tertekan sekarang tapi mereka tidak luahkan. Jadi, apa salahnya saya hiburkan mereka sebab kerjaya saya pun memang seorang penghibur.

“Saya tak kacau hidup orang dan saya sudah maafkan mereka yang ada berkata yang tidak baik selama ini,” katanya. – Agensi

Didie Alias yang aktif menghiburkan peminat di aplikasi TikTok. – Agensi