Didik belia cinta masjid, manfaat waktu

Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 20 SEPT – Dalam usaha untuk menangani gejala isu sosial dalam kalangan belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengelolakan Program Qiamullail yang disertai oleh 50 orang belia khususnya dari Daerah Temburong.

Program dua hari itu diadakan di Masjid Kampung Belais, Dearah Temburong di mana hadir selaku tetamu kehormat pada program hari ini, ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Antara pengisian dari Program Qiamullail antaranya sembahyang Sunat Hajat, sembahyang Sunat Taubat diikuti dengan menunaikan sembahyang Fardu Subuh berjemaah seterusnya membaca Surah Al-Mulk dan Surah Al-Waqiah.

Di samping itu, para peserta juga berpeluang mengadakan aktiviti riadah dengan mendaki Bukit Buda-Buda di daerah berkenaan.

Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk memberi galakkan kepada belia untuk mendekati masjid di samping membiasakan mereka bersilaturahim dengan jemaah dan jawatankuasa takmir masjid.

Haji Yusli semasa mempengerusikan Forum Belia sempena Awal Tahun 1442 Hijrah di Masjid Kampung Belais.
Haji Amir Hisham bersama belia masjid yang lain melakukan aktiviti pagi di kawasan Masjid Kampung Belais.

Melalui program ini juga, peserta dilatih membantu pentadbiran hal ehwal masjid selain memberi peluang kepada belia masjid mengikuti aktiviti-aktiviti masjid seterusnya mendidik belia supaya tidak dipengaruhi dengan gejala sosial.

Dengan adanya program ini, ia diharap dapat mengimarahkan masjid seterusnya para belia dapat melakukan aktiviti berfaedah dan program ini juga akan dilaratkan ke daerah lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Terdahulu itu, malam tadi, para peserta turut menghadiri Forum Belia sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442 anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belais.

Haji Amir Hisham turut hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama mendengarkan forum bertajuk ‘Belia Harapan Menuju Kecemerlangan Ummah’ itu.

Forum dipengerusikan oleh Ketua Unit Belia, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yusli bin Haji Ashli dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Unit Kokurikulum Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Faizah binti Haji Abdul Rahman dan Pegawai Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Awang Abdul Hamid bin Aji.