Didik belia hindari gejala sosial

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Sebagai usaha untuk menangani gejala isu sosial dalam kalangan belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong telah mengambil inisiatif mengadakan program qiamulail bagi belia masjid di Daerah Tutong.

Program dua hari, kelmarin dan hari ini itu berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong dan disertai seramai 50 orang belia masjid dari daerah berkenaan,
Antara tujuan program adalah untuk menggalakkan belia mendekati masjid dan membiasakan mereka bersilaturahim dengan jemaah dan ahli jawatankuasa takmir
masjid.

Melalui program itu, para peserta dilatih membantu pentadbiran hal ehwal masjid serta diberi peluang mengikuti aktiviti-aktiviti masjid sekali gus mendidik belia agar tidak dipengaruhi dengan gejala sosial.

Antara pengisian program pada hari pertama ialah membaca Surah Yasin dan Tahlil serta ceramah motivasi bertajuk ‘Belia Sihat dan Penyayang Tanpa Gejala Sosial’.

Pada hari kedua, para peserta menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah dan seterusnya membaca Surah Al-Waqiah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pagi tadi ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Program hari ini diteruskan lagi dengan kempen kebersihan di dalam dan luar masjid berkenaan.

Program seumpamanya diharap akan dapat mengimarahkan masjid sekali gus akan menjadi pengajaran dan kesedaran kepada belia agar menghindari aktiviti yang tidak berfaedah.

Dalam pada itu, program berkenaan juga akan dilaratkan ke daerah yang lain pada masa akan datang.

Antara belia yang menyertai program yang diadakan di Masjid Kampung Penanjong.