Didik golongan kanak-kanak agar rajin bersedekah

Mendidik golongan kanak-kanak seharusnya dilakukan sejak usia muda mereka bagi memudahkan membentuk akhlak mereka dengan sifat-sifat yang baik. Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Hal ini kerana agar tidak berlakunya kesukaran dalam membimbing mereka ke jalan yang lebih baik. Golongan kanak-kanak ini boleh diibaratkan sebagai kain putih, di mana memerlukan peranan kita untuk mencoraknya. Pelbagai sifat baik yang kita dapat terapkan ke dalam diri mereka seperti memupuk sifat suka membagi dan bersedekah.

Mengajar kanak-kanak untuk terbiasa dengan bersedekah harus diajarkan sejak awal lagi bagi melatih kanak-kanak ikhlas ketika melakukannya dan bukan kerana terpaksa atau semata-mata untuk mendapatkan nama atau pujian.

Terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan untuk melatih kanak-kanak rajin bersedekah. Apa yang utama dalam mendidik kanak-kanak ini adalah peranan kita sebagai ibu bapa atau penjaga.

Ini kerana kita sebagai orang dewasa yang menjadi contoh terbaik yang perlu diikuti oleh kanak-kanak. Ibu bapa atau penjaga merupakan orang paling rapat dan tempat rujukan bagi kanak-kanak untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Bagi mendidik kanak-kanak rajin bersedekah, ibu bapa perlu menunjukkan sikap pemurah dan suka bersedekah kepada mereka. Perbuatan ini tidak mustahil menjadi persoalan terhadap tindakan kita tersebut. Ketika inilah masa yang sesuai untuk menerangkan kepada kanak-kanak perkara yang kita lakukan.

Dalam masa yang sama, elakkan diri kita dari menimbulkan perasaan riak sehingga kanak-kanak menanggap fungsi sedekah itu sebagai menunjuk-nunjuk. Selain itu, anda sebagai orang dewasa seharusnya menggunakan kreativiti anda dalam membimbing kanak-kanak ke arah yang dapat menanamkan sifat bersedekah.

Di antaranya, dengan cara anda mengajar kanak-kanak mengumpulkan barang-barang yang masih elok dan tidak digunakan lagi seperti pakaian, mainan, buku dan sebagainya untuk dihantar ke rumah-rumah kebajikan atau orang yang memerlukan bantuan. Selain itu juga, anda juga dapat mendidik dengan cara jika anda terlihat orang yang meminta sedekah, anda hulurkan wang kepada kanak-kanak dan biarkan mereka sendiri untuk menyampaikannya kepada peminta sedekah tersebut agar mereka merasa teruja melakukan perkara tersebut dan ingin mengulanginya.

Sebagai ibu bapa, tanggungjawab kita adalah untuk mengajar kanak-kanak erti kehidupan, mengapa ada orang yang meminta sedekah dan pentingnya membantu orang lain.

Berikan satu penerangan yang logik dan mudah difahami tentang fungsi sedekah. Wujudkan sifat belas kasihan dan simpati kanak-kanak pada orang lain agar terdidik dengan nilai murni bukan sahaja kepada manusia tetapi semua makhluk di muka bumi ini. – Agensi